Pantun, madah serikan ucapan Hishammuddin
KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelitkan beberapa rangkap pantun dan madah dalam ucapan dasarnya bagi mengukuhkan lagi hujah berhubung isu dan cabaran yang dihadapi parti serta orang Melayu.
Ketika mengajak ahli meningkatkan kesetiaan terhadap parti, beliau menyampaikan serangkap pantun:
Angkut-Angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia kita tak kan berubah.
Dalam ucapan lebih sejam itu, beliau juga menggunakan sebuah pantun lama bagi mengecam segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menghina dan menuduh dasar kerajaan serta parti untuk menutup kelemahan dan tembelang sendiri.
Anak dagang dari seberang,
Bawa jual ikan tenggiri,
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri.
Bagi menyatakan komitmen Pemuda memperjuangkan bahasa Melayu, beliau menyampaikan pantun berikut:
Ramai sudah orang Kampuchea,
Datang mendadak merayu-rayu
Jangan mudah berbangsa Malaysia
Selagi tidak berbahasa Melayu
Hishammuddin juga bermadah seloka ketika membangkitkan isu kepemimpinan, amanah, salah guna kuasa, kekuasaan Melayu serta ganguan dalam kepemimpinan.
Adat memegang kepercayaan orang,
Jangan sekali tikam belakang;
Adat memegang kekuasaan,
Jangan sekali merosak-binasakan;
Adat memegang kebebasan,
Jangan sekali lupa batasan.
Tuah kain pada tenunnya,
Tuah pemimpin pada santunnya;
Tuah kayu elok buahnya,
Tuah Melayu elok maruahnya;
Elok kain elok raginya,
Elok pemimpin elok negerinya.
Bila kain sudah koyak,
Bila dipakai aib tersingkap,
Bila pemimpin sudah rosak,
Bila dipakai umat menghidap,
Bila kain sudah lapuk,
Bila dipakai tentulah koyak,
Bila pemimpin akhlaknya buruk,
Aib terburai umat bergasak.
Beliau juga mengajak perwakilan merenung sejenak kata-kata terakhir bekas Ketua Pemuda, Tan Sri Syed Jaafar Albar pada satu perjumpaan Pemuda di Muar, Johor pada 1977 beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“...perjuangan Umno seluruhnya dan khasnya Pemuda yang menerima pusaka daripada orang tua sekarang ini, adalah satu perjuangan yang amat sulit, amat berat dan tidak boleh diambil secara sambil lewa saja.
“Dalam perjuangan kita mestilah serius. Selain serius, dalam keadaan serius kita juga, kita mestilah jujur.
“Inilah dua syarat yang amat penting untuk mencapai atau sampai ke matlamat yang kita tuju. Kalau kita tidak serius (atau) kalau kita serius tetapi untuk kepentingan diri bencana dan celaka juga padahnya kepada bangsa dan keturunan kita yang akan datang.”
Berdasarkan pesanan Syed Jaafar Albar yang meminta Pemuda Umno supaya berjuang secara serius dan jujur, Hishammuddin mengajak ahli Pemuda bersama-sama berikrar untuk mewarisi perjuangan dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab.
|