Johor minta kaji semula meritokrasi
PEMUDA Umno Johor tetap dengan pendiriannya untuk meminta kerajaan mengkaji semula dengan teliti sistem meritokrasi supaya Umno tidak dipersalahkan generasi akan datang.
Wakil negeri itu, Mohd Zan Abu berkata, permintaan itu selaras resolusi konvensyen Umno Johor, baru-baru ini.
Ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Ketua Pemuda, beliau berkata Perlembagaan negara yang digubal dan dipersetujui sebelum merdeka sudah menggariskan hak istimewa orang Melayu sebagai satu daripada terasnya.
"Jadi sekarang jangan ada sesiapa cuba mempertikaikan hak kita dan melupakan kontrak sosial yang sudah dipersetujui.
"Kita tidak harus berganjak walau seinci pun dalam mempertahankannya. Jangan sesekali sebagai pejuang bangsa, kita tunduk meminta maaf ketika memperjuangkan hak-hak kita di tanah air sendiri.
"Patah kaki bertongkat sayap, patah sayap bertongkat paruh, namun demi kedaulatan dan kemajuan bangsa, marilah kita terus pertahankan hingga titisan darah terakhir," katanya yang juga Ketua Pemuda Ledang.
Wakil Pemuda Umno Kelantan, Affandi Yusoff pula menarik perhatian perwakilan apabila mempersoalkan gerakan “Kumpulan Artikel 11” yang berkempen mengenai hak kebebasan beragama dan cadangan penubuhan majlis antara agama (IFC) yang dianggap mencabar maruah umat Islam.
“Jangan cuba main api... kita akan lawan habis-habisan,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan termasuk Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum itu turut membangkitkan isu berkenaan dalam ucapan dasarnya.
Affandi mencadangkan Kementerian Pelajaran mewujudkan mata pelajaran Islam Hadhari di sekolah rendah bagi memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar.
"Saya juga mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan fakulti Islam Hadhari di setiap universiti kerana kita kini dalam peringkat pelaksanaan Islam Hadhari selepas melalui fasa pertama iaitu penerangan mengenai Islam hadhari," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menubuh universiti di Kelantan.
Ketua Pemuda Bahagian Bagan Serai yang mewakili Pemuda Umno Perak, Muhamad Nor Dawoo, mendesak Kementerian Pelajaran memperbaiki kelemahan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
|