Suara Pemuda Umno terus lantang, tajam
SEBELUM ini kedengaran suara mempersoalkan Pergerakan Pemuda Umno kini tidak mempunyai taring dan tidak lantang seperti Pemuda pada era lampau.
Jika golongan yang mempersoalkan ‘suara’ Pemuda ini hadir mendengar perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno ke-56, mereka tentu menyedari hakikat keadaan adalah sebaliknya.
Selepas tiga hari berlangsungnya Perhimpunan agung, nyata suara Pemuda bukan saja lantang tetapi tajam membangkitkan isu dan mengemukakan hujah mencakupi permasalahan Melayu di semua peringkat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beberapa hari sebelum berlangsungnya perhimpunan agung sendiri ada menyatakan, Pemuda lantang hanya pada tempatnya.
“Yang penting ialah hasilnya. Nak lantang ada tempat dan masanya. Bagi saya itulah kepentingan (hasil) yang lebih bermakna daripada hanya membuat luahan dan kelantangan.
“Kalau kita lantang setiap hari dalam semua isu, orang tidak melihat kelantangan itu secara serius,” katanya.
Pembahas daripada Pemuda berjaya menarik tumpuan dengan gaya penyampaian, lenggok perbahasan dan yang lebih utama isu yang dibawa bukan isu remeh, sebaliknya isu penting dengan input bagi menjana kemajuan bangsa dan negara.
Bermula daripada ucapan Hishammuddin ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan pergerakan itu Rabu lalu, beliau menegaskan pentingnya istilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kembali diguna pakai sebagai dasar pembangunan negara.
Katanya, Pemuda mahu strategi ‘pertumbuhan dengan pengagihan’ dalam memastikan pemilikan ekuiti 30 peratus kepada bangsa Melayu diteruskan.
Beliau turut menggariskan tujuh perkara yang perlu diberi penumpuan mulai sekarang supaya Melayu tidak terpinggir di negara sendiri ketika Malaysia menjadi negara maju pada 2020.
Selaku Menteri Pelajaran, katanya, agenda pendidikan negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan melalui proses penjajaran semula untuk memperkasakan sekolah kebangsaan bagi membela nasib pelajar luar bandar.
Ketika dua lagi sayap Umno — Wanita dan Puteri — agak senyap berhubung isu permit import (AP) kereta, Pemuda lantang mempersoalkan sistem agihan AP yang mengetepikan ahli Umno yang berwibawa dalam perniagaan.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Azimi Daim, berkata dasar pemberian AP sekarang hanya menguntungkan penerima, sedangkan pembeli kereta menanggung banyak kerugian.
“Kami minta kerajaan lihat kembali bagaimana orang yang menerima berpuluh ribu AP... kalau satu AP untung RM30,000, berapa dia untung. Kalau berniaga pun, ambil kiralah kepentingan pengguna,” katanya.
Wakil Pemuda Perlis, Ismail Hashim, juga mempersoalkan pemberian AP terlalu banyak kepada hanya beberapa pihak tertentu.
Pemuda yang diberi tanggungjawab membentangkan usul ekonomi, bijak menghuraikan permasalahan ekonomi Melayu serta pintar menzahirkan cadangan untuk membuka kunci bagi meleraikan permasalahan itu.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, yang membentangkan cadangan usul ekonomi dengan tegas dan yakin mahu Agenda Nasional Baru (ANB) diwujudkan bagi menetapkan matlamat agenda Melayu digariskan secara terperinci dalam RMK-9 untuk memastikan pencapaian 30 peratus ekuiti Melayu pada 2020.
Pemuda juga mahukan isu ketirisan yang dibangkitkan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditangani kerana ketirisan meletakkan Melayu semakin jauh daripada kedudukan ekonomi yang disasarkan.
Ucapan sulungnya membentangkan usul itu sejak memegang jawatan Naib Ketua tahun lalu, disampaikan dengan nada serius serta diselitkan dengan seloka dan pantun sinis, yang berjaya menarik tumpuan perwakilan dan pemerhati.
Antara pantunnya:
Pemuda Umno semangatnya kental,
Langkahnya gagah akalnya pandai
Manakan lahir Melayu Glokal,
Jikalau projek dijual digadai.
Cadangan lain oleh Pemuda ialah supaya ditubuhkan Sekretariat Ekonomi Bumiputera sebagai mata dan telinga masyarakat Melayu dalam semua sektor ekonomi.
Saranannya sekretariat itu menyediakan Laporan Penyertaan Ekonomi Bumiputera setiap suku tahun dengan menggariskan beberapa kunci petunjuk prestasi (KPI) mengenai penyertaan Bumiputera, akan membolehkan pemantauan dilakukan terhadap pelaksanaan agenda ekonomi Melayu.
Beliau juga mencadangkan penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya lebih fokus dalam perniagaan teras. Syarikat berkaitan Umno (ULC) pula dicadang distruktur semula supaya lebih berdaya saing.
Wakil Pergerakan Pemuda, Datuk Pirdaus Ismail ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden kelmarin, mahu Melayu tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan parti pembangkang berhubung konsep Islam Hadhari yang dibawa kerajaan.
Jelas, cara dan isu yang dibawa oleh Pemuda menunjukkan kematangan sehinggakan wakil Perak, Datuk Tajuddin Abd Rahman ketika memulakan perbahasan usul ekonomi semalam menyatakan, Pemuda perlu diberi tempat dalam melaksanakan agenda kerajaan.
“Dengan Pemuda seperti sekarang, mereka mampu mengambil tempat sebagai pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.
Bererti kini, Pemuda bukan tiada sengat, bukan tidak lantang tetapi kelantangan itu disampaikan secara sopan menerusi saluran yang betul.
|