Khairy dipuji:
Perwakilan anggap Naib Ketua Pemuda hebat mengetengahkan isu orang Melayu


UCAPAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika mencadangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno ke-56, semalam mencuri tumpuan semua perwakilan dan pemerhati yang rata-ratanya kagum dengan ketrampilan beliau.

Walaupun Khairy mungkin antara pemimpin paling baru dalam pentas perdana Perhimpunan Agung Umno, ucapannya semalam membuktikan anak muda berusia 29 tahun itu sudah mampu menunjukkan kewibawaannya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Dengan nada yakin dan bersedia, Khairy berjaya membincangkan pelbagai isu yang berpaksi kepada kedudukan ekonomi orang Melayu serta mengetengahkan pelbagai idea bernas mencari penyelesaian kepada pelbagai kemelut yang melanda.

Kebijaksanaan beliau mengutarakan isu dan rancangan pembangunan ekonomi Melayu, terbukti apabila perwakilan serta pemerhati baik di dalam mahu pun di luar dewan, tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing untuk menghayati kupasan beliau.

Ramai yang terkejut dan terpegun apabila mendapati pemimpin nombor dua sayap kanan parti itu sudah mampu membawa hala tuju yang jelas dalam perjuangannya mengangkat martabat bangsa Melayu, walaupun belum sampai setahun memegang jawatan berkenaan.

Di kalangan perwakilan dan pemerhati, persembahan Khairy ketika menyampaikan ucapannya semalam membuktikan beliau kini sudah mampu mempamerkan keupayaan sebenarnya di pentas politik peringkat nasional.

Sebenarnya, bagi mereka berada di perhimpunan agung kali ini, kewibawaan dan kepemimpinan Khairy sudah terserlah ketika beliau berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda kelmarin.

"Jika sebelum ini ada yang meragui keupayaan beliau kerana ucapannya semalam (kelmarin) hanya di hadapan kalangan perwakilan Pemuda, apa yang ditunjukkannya di Perhimpunan Agung hari ini (semalam) memadamkan keraguan itu," kata seorang perwakilan.

Seorang Exco Pemuda pula berkata, Khairy kini sudah keluar daripada 'kepompongnya' dan apa yang ditunjukkannya ketika mencadangkan usul ekonomi dalam perhimpunan semalam adalah dirinya yang sebenar.

Jika pada perhimpunan tahun lalu, Khairy yang memenangi jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda tanpa bertanding di'boo' segelintir perwakilan, kini orang yang sama juga mengakui hakikat bahawa beliau memang layak dikagumi.

"Kalau sebelum ini ada yang masih sangsi dengan kemampuan beliau, selepas melihat cara dan mendalami butiran ucapan yang disampaikannya tadi (semalam), saya pasti semua keraguan itu sudah lenyap," kata seorang perwakilan Puteri.

Bagaimanapun, bagi mereka yang rapat dengannya, apa yang ditunjukkan oleh Khairy semalam, masih belum sampai ke tahap kemuncak kemampuannya kerana beliau kelihatan agak terikat dengan teks ketika menyampaikan ucapannya.

"Memang Khairy lebih selesa berucap tanpa teks seperti pada Persidangan Perwakilan Pemuda tempoh hari, tetapi untuk perhimpunan agung, beliau berkata, dia perlu sedikit berhati-hati tambahan pula ini kali pertama," kata rakannya.

Khairy ketika ditemui selepas berucap membentangkan usul ekonomi itu, mengakui beliau sendiri tidak menyangka menerima banyak penghargaan dan tahniah daripada pemimpin parti dan ahli Pemuda.

"Syukur Alhamdulillah dengan maklum balas positif itu. Selaku pemimpin, saya hanya menjalankan tugas memperjuangkan nasib bangsa," katanya merendah diri.

Ketokohan Khairy diakui perwakilan Pemuda yang mengikuti dengan penuh minat perbahasan beliau.


PANTUN
Bukan kontraktor sebarang kontraktor,
Towering Melayu kontraktor tersohor,
Bukan bocor sebarang bocor,
Bocor kontrak Melayu hancur.


Pemuda Umno semangatnya kental,
Langkahnya gagah, akalnya pandai,
Manakan lahir Melayu Glokal,
Jikalau projek dijual digadai.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768