Usah pertikai pelaksanaan semula DEB: Hishammuddin

KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pihak tertentu di negara ini tidak mempertikaikan pelaksanaan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau berkata, gesaan pegangan ekuiti 30 peratus oleh Pemuda Umno adalah usul yang pernah dikemukakan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

"Saya ingatkan pihak berkenaan bahawa sasaran mencapai 30 peratus yang kita minta bukan perkara baru serta tidak bercanggah dengan pendirian Umno, Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya kepada wartawan.

Hishammuddin dalam ucapannya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda pada Rabu lalu mendesak istilah DEB kembali diguna pakai sebagai dasar pembangunan negara agar orang Melayu dapat diperkasa daripada terus terpinggir sehingga 2020.

Beliau berkata, jika jurang ekonomi antara kaum tidak segera diseimbangkan ia boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini, terutama menjelang Malaysia menuju menjadi negara maju pada 2020.

"Isu perkauman bukan menjadi pertimbangan saya ketika mencadangkan DEB dikembalikan kerana jelas orang Melayu masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi.

"Jika ia (agenda ekonomi Melayu) tidak berjaya, saya bimbang anak saya, cucu dan cicit saya dan anda (wartawan) akan hidup dalam keadaan yang tidak stabil dan wujudnya keresahan perkauman," katanya.

Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata melaksanakan semula DEB tidak bermaksud merampas hak kaum lain, tetapi ia adalah usah meningkatkan pengagihan kekayaan kepada semua kaum terutama orang Melayu yang masih ketinggalan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768