Pemuda syor wujud sekretariat ekonomi
PERGERAKAN Pemuda Umno mahu Sekretariat Ekonomi Bumiputera diwujudkan sebagai mata dan telinga masyarakat Melayu dalam semua sektor ekonomi.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata institusi bukan kerajaan itu berperanan membantu kerajaan mengenal pasti punca ketirisan melalui perisikan pasaran, menjalin rangkaian bersepadu antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), usahawan kecil dan sederhana serta menjadi kumpulan pemikir berkaitan agenda ekonomi.
Katanya, ketirisan yang dibangkitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu ditangani untuk kepentingan masa depan bangsa kerana ia meletakkan Melayu semakin jauh daripada kedudukan ekonomi yang disasarkan.
Beliau berkata, sekretariat itu perlu diamanahkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara terhadap agenda ekonomi Melayu dengan menyediakan Laporan Penyertaan Ekonomi Bumiputera setiap suku tahun.
Laporan ini akan menggariskan beberapa kunci petunjuk prestasi (KPI) mengenai penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor dan memberi maklumat terkini mengenai pelaksanaan agenda ekonomi Melayu daripada kaca mata sektor swasta dan inteligensia Melayu.
"Melalui sekretariat ini, kita boleh memastikan usaha untuk menidakkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara akan didedah seterusnya membuka ruang untuk tindakan pembetulan diambil," katanya ketika membentangkan usul ekonomi.
Khairy berkata, penstrukturan semula GLC yang bermula Mei 2004, perlu mengambil kira agar GLC lebih fokus dalam perniagaan teras mereka saja.
“Disebabkan skopnya yang luas, ada kalanya GLC dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) menceroboh masuk ruang perniagaan industri kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau juga meminta syarikat berkaitan Umno (ULC) distruktur semula supaya lebih berdaya saing, profesional serta menjanjikan keuntungan, yang melaluinya Umno harus berupaya membentuk dan melahirkan usahawan di kalangan ahli Umno.
Katanya, ULC dulunya adalah antara syarikat yang berjaya dengan sebahagiannya dipegang oleh Umno tetapi berita kejayaan tidak lagi didengar hari ini, dengan memberikan contoh KUB antara syarikat yang kerugian lebih RM300 juta dari 2001 hingga 2004.
Selain itu, katanya, Bank Pertanian perlu distruktur semula agar lebih berorientasikan pasaran, manakala institusi kewangan lain perlu meningkatkan peruntukan pinjaman pertanian kepada usahawan Bumiputera kecil dan sederhana.
Beliau juga meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mewujudkan Unit Penyertaan Bumiputera bagi melahirkan lebih banyak saintis dan teknologis Melayu.
Katanya, sebuah pelan rangka tindakan yang komprehensif perlu diwujudkan agar cita-cita untuk melahirkan Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera akan terlaksana.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita kemudiannya, Khairy berkata, Pemuda mengesyaki wujud usaha terancang pihak tertentu yang mahu menghalang orang Melayu untuk muncul sebagai usahawan berdaya saing.
Beliau yakin ada usaha seumpama itu oleh pihak tertentu kerana walaupun pelbagai langkah dilakukan kerajaan dalam membantu usahawan Bumiputera, golongan berkenaan sukar meningkat maju seperti usahawan kaum lain.
"Mengapa orang Melayu tidak dapat menyertai sektor ekonomi dengan lebih meluas, misalnya sebagai pembekal bahan untuk sektor pembinaan.
"Sampai hari ini Melayu tidak boleh masuk dalam bidang itu. Saya berpendapat ia bukan disebabkan tidak ada peluang untuk orang Melayu atau kurangnya kemampuan kaum berkenaan,” katanya.
|