KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi akan mewujudkan Unit Penyertaan Bumiputera di tiga agensi, iaitu Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Sirim.
Menterinya, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata walaupun kementerian mempunyai jawatankuasa kecil di bahagian Sains dan Teknologi, bagi menepati hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan wakil Pemuda, Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul ekonomi, saranan itu akan direalisasikan sebagai subsektor ekonomi baru.
"Terima kasih kepada Pemuda atas sikap prihatin mereka kerana membangkitkan isu ini, lebih-lebih lagi generasi baru akan datang yang bakal menghadapi ekonomi bentuk baru.
"Selaras misi kementerian yang membantu hasrat kerajaan, kita mesti mengambil usaha menggembleng tenaga menjayakan agenda ini. Kita tidak mahu Bumiputera dikenali kerana hanya memasuki sesuatu industri apabila sudah 'senja'.
"Kita akan arahkan MDC yang bertanggungjawab membina dan membangunkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menubuhkan unit Bumiputera dan yang kedua BiotechCorp," katanya pada sidang media.
Pengumuman itu berikutan ucapan Khairy yang menyeru orang Melayu berhijrah daripada sektor tepu ke sektor baru seperti bioteknologi yang menjanjikan peluang dan pulangan lebih baik.
Dr Jamaludin berharap penyertaan Bumiputera dalam masyarakat saintifik tidak dijustifikasi dari segi etnik, tetapi untuk memastikan penyertaan bidang baru seperti nanoteknologi atau yang berteknologi tinggi.
Mengulas kritikan terhadap Koridor Raya Multimedia (MSC) yang tidak memberi peluang kepada Bumiputera, katanya, beliau akan berjumpa dengan pihak berkenaan untuk berbincang.
FAKTA NOMBOR
1,288 - Syarikat berstatus MSC
932 - Syarikat tempatan
137 - Syarikat milik penuh Bumiputera