Cadangan wujud dasar baru disokong

CADANGAN Pemuda Umno supaya kerajaan menghidupkan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) disokong perwakilan perhimpunan agung semalam, apabila wakil Terengganu mencadangkan Dasar Ekonomi Baru Dua (DEB2) diwujudkan bagi membela nasib orang Melayu.

Datuk Rosli Mat Hassan, berkata DEB2 boleh mengambil semangat DEB yang begitu dekat dengan masyarakat Melayu dan kakitangan kerajaan pada waktu itu.

"Apabila memperkatakan DEB2, ia bermakna kita memperkatakan mengenai orang Melayu mesti berdiri sama tinggi duduk sama rendah, sama seperti bukan Bumiputera dan berjaya melalui pelan yang diwujudkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, DEB2 boleh bergerak bersama Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN) yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"DEB2 ini adalah pendekatan baru dengan pelbagai dasar yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan seperti pendekatan Islam Hadhari, Pelan Integriti Nasional, Penyusunan Semula Ekuiti, pembasmian kemiskinan, pengagihan pendapatan dan guna tenaga bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera," katanya membahaskan usul ucapan dasar Presiden.

Rosli yang menyarankan perubahan itu dilaksanakan seperti gelombang baru berkata, orang Melayu tidak lagi boleh tercicir daripada arus pembangunan dan ketinggalan jauh daripada dasar wawasan negara.

"Walaupun DEB sudah berjaya tetapi kini timbul masalah baru kerana masih ramai orang Melayu yang belum faham dasar pembangunan nasional dan wawasan negara.

“Apa yang kita nampak, orang Melayu sebenarnya bukan saja kehilangan gelombang memperkukuhkan jentera parti, malah kehilangan ketulenan dalam menterjemahkan dasar kerajaan," katanya.

Sementara itu, kerajaan disaran menubuhkan dana amanah yang bertanggungjawab menguruskan hartanah orang Melayu di bandar sebagai usaha meningkatkan ekuiti di sektor itu.

Wakil Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata langkah konkrit itu perlu diambil kerana pemilikan aset orang Melayu di bandar besar masih terlalu rendah dan tidak seimbang dengan tahap pembangunan pesat negara.

"Pada hari ini hartanah di bandar kebanyakannya dimiliki bukan Melayu. Sudah tiba masanya kita mempunyai sebuah dana amanah hartanah yang bertanggungjawab menguruskan aset orang Melayu di bandar," katanya.

Beliau juga menyarankan kerajaan mengkaji semula strategi pembangunan ekonomi Melayu supaya pertumbuhan selaras dengan ekuiti kerana ia akan menentukan kedudukan Bumiputera untuk bersaing di peringkat global.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768