‘Rombak kurikulum IPT’

PERWAKILAN Umno Pahang mencadangkan kurikulum di institusi pengajian tinggi (IPT) dinilai atau menjalani penambahbaikan untuk memastikan graduan yang tamat pengajian mendapat pekerjaan sejajar dengan kelulusan mereka.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Rompin, Mohd Shafri Abd Aziz, turut mempersoalkan sama ada punca kebanjiran graduan menganggur disebabkan kesilapan menggariskan Dasar Pendidikan Negara dan sama ada ia boleh dibaiki lagi dalam tempoh 15 tahun ini.

"Umno Pahang mencadangkan, sebelum kita terlambat menjelang Wawasan 2020, usaha memperkasakan pendidikan anak bangsa dengan membangunkan modal insan seharusnya diberi perhatian mulai sekarang,” katanya membahaskan ucapan dasar Presiden.

Beliau merujuk kepada lebih 18,000 graduan yang masih menganggur dan ratusan ribu lagi yang gagal melanjutkan pengajian ke IPT kerana tidak cukup tempat.

Mohd Shafri berkata, pemikir di universiti termasuk naib canselor, pensyarah dan kakitangan boleh bersama-sama kepimpinan negara memikirkan cara terbaik mengisi kekosongan itu.

“Kita rugi apabila ribuan graduan Melayu menganggur kerana tidak dapat menggunakan kepakaran masing-masing. Kita juga riuh apabila anak bangsa yang mencapai kecemerlangan tiada tempat di IPT. Kenapa ini berlaku? Di manakah kesilapan kita?” katanya.

Mohd Shafri berkata, pendidikan bangsa Melayu perlu diperkasa selaras dengan usaha memperkasa negara dan membangun modal insan.

Beliau berkata, isu pendidikan dan pengangguran anak Melayu perlu diberi perhatian serius mulai sekarang dan diambil tindakan segera.

“Kerana sekiranya lambat diambil tindakan, maka pada persidangan Umno pada 2020 kelak, kita akan kembali bermuhasabah mengenai kegagalan yang kita lakukan sekarang, sama seperti yang kita lakukan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) (pada perhimpunan agung ini),” katanya.

Sementara itu, wakil Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir menggesa Umno mengambil alih Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) bagi memantapkan tanggungjawabnya melatih Melayu profesional.

"Tun Razak adalah pemimpin ulung negara dan umat Melayu. Tentunya kita tidak mahu melihat Unitar dalam keadaan tidak menentu. Oleh itu kita syorkan Unitar diangkat menjadi Universiti Umno dan menjadi contoh pembangunan bangsa Melayu," katanya.

Bagi memantapkan taraf pendidikan Melayu, beliau menyarankan kerajaan memberi peruntukan besar untuk sekolah kebangsaan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RM-9).

Pencadang usul, Datuk Mohd Said Yusof pula meminta kerajaan membesarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menempatkan ratusan ribu pelajar Melayu yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Katanya, mereka perlu diberikan tempat melanjutkan pelajaran dan UiTM adalah pusat pengajian yang boleh digunakan untuk membantu mereka.

Wakil Kedah, Datuk Md Rozai Shafian menyarankan supaya sistem pendidikan tinggi negara dikaji semula kerana sistem yang dilaksanakan sekarang hanya melahirkan ramai siswazah menganggur daripada yang berkaliber.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768