KUALA LUMPUR: Isu pemberian permit import (AP) kereta yang dibangkitkan perwakilan Pemuda Umno kelmarin, bertambah hangat apabila wakil Melaka, Datuk Mohd Said Yusof menimbulkannya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden, semalam.
Secara berseloroh, Mohd Said yang merujuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz sebagai ‘Kak Dah’ berkata, beliau sudah melihat senarai penerima AP berkenaan dan agak marah juga apabila namanya tidak ada.
“Nama Syed dah ada dah... tapi Syed lain... ini yang nak marah ini. Memang betul kita nak Melayu Unggul, tapi kena tengok Melayu yang macam mana,” katanya yang turut mempersoalkan sama ada mereka yang mendapat AP membantu semula Umno.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin, mencadangkan pemberian AP diamanahkan kepada Setiausaha Agung Umno untuk diagihkan pada peringkat bahagian.
Kak Dah, untuk AP yang akan datang, saya harap bagilah kepada Umno. Kalau satu bahagian dapat 40 AP, tak habis pun 8,000 AP. Kalau ada AP, tak adalah bangunan Umno bahagian yang nak kena lelong, macam Umno Bahagian Jasin.
“Kalau ketua bahagian tak tahu nak agihkan 40 AP, wallahualam,” katanya sambil disambut tepukan dan sorakan gemuruh perwakilan.
Dalam ucapannya, beliau juga mahu kerajaan lebih serius serta teliti dalam isu pengeluaran AP dan menyarankan seorang Menteri Senior dilantik untuk memantaunya.
Beliau yang terkenal dengan jolokan Mohd Said ‘kas-kas’ kerana membangkitkan isu berkenaan di Parlimen, turut menggamatkan dewan apabila menyentuh isu minta maaf antara Rafidah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mohd Said mencadangkan Rafidah agar memohon maaf dan tidak menggunakan al-Quran lagi untuk bersumpah bagi mengelakkan tindakan itu akan digunakan ahli Pas untuk mengkritik ahli serta pemimpin Umno.
Beliau juga menyentuh mengenai sikap murni Umno yang sentiasa sedia memaafkan pihak yang pernah menentangnya serta kembali menerima mereka.
“Ada orang dulu hentam kita, kita terima dia balik. Sekarang, dia pula yang ajar kita supaya berbudi bahasa,” katanya yang sekali lagi disambut tepukan dan sorakan gemuruh perwakilan.
Beliau juga membangkitkan isu Proton dengan mempersoalkan kemasukan terlalu banyak kereta import.
“Hari ini Proton bukan lagi jadi kereta nasional, tetapi sebaliknya kita akan jadikannya sebagai kereta Glokal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan tidak membuka pasaran automotif negara dengan seluas-luasnya kepada negara asing yang enggan menerima kemasukan Proton.
Wakil Kelantan, Mohd Zein Ismail turut menerima sorakan perwakilan apabila dengan sinis berkata: “Di sana-sini orang yang sama menerima faedah langsung sebab dapat AP... yang dapat jadi kaya raya, yang tak dapat terus papa kedana tapi tak mengapalah sebab orang Melayu juga yang kaya.
“Kita andaikan satu AP dapat untung RM20,000, bermakna 67,158 AP yang dikeluarkan kerajaan setakat ini membawa keuntungan RM1.43 bilion,” katanya.
Mohd Zein mencadangkan supaya AP diberi kepada badan atau yayasan tertentu dengan sebahagian keuntungannya digunakan untuk membasmi kemiskinan tegar, terutama di luar bandar atau melaksanakan projek yang boleh meningkatkan taraf ekonomi masyarakat.