Penjajaran semula agenda pendidikan

AGENDA pendidikan negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan melalui proses penjajaran semula ke arah memperkasakan lagi sekolah kebangsaan dan membela nasib pelajar di luar bandar, kata Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Melalui penjajaran semula itu, katanya, keadaan sekolah luar bandar dipastikan mempunyai prasarana terbaik termasuk daripada segi guru dan pengisian pendidikan.

Ketika menggulung perbahasan usul ucapan dasarnya semalam, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata:

“Kita tak perlu meminta maaf kepada sesiapa jika ada sekolah aliran lain menyatakan sekolah mereka daif kerana sekurang-kurangnya ia ada bekalan elektrik dan air.

“Sekolah kita mesti kita dekatkan daripada segi jurang antara bandar dan luar bandar. Guru mesti dipujuk supaya melihat tanggungjawab itu sebagai amanah,” katanya.

Beliau berkata, Umno perlu membantu usahawan Melayu untuk memastikan mereka berjaya dan mampu bersaing dengan bangsa lain.

“Tapi jangan minta benda-benda yang tak munasabah. Nak minta wujudkan sekolah di semua bahagian untuk mendapatkan kontrak adalah tidak munasabah,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga terharu kerana dalam pada perwakilan membincangkan pelbagai isu terkini, nama Allahyarham Datuk Onn Jaafar masih tidak lekang di bibir mereka.

Katanya, beliau gembira kerana perkara itu membuktikan perjuangan Umno terus dihargai dan Pemuda boleh menoleh ke belakang bagi menilai perjuangan tokoh lampau.

“Sekurang-kuranngya, perjuangan Datuk Onn mengizinkan saya berdiri sebagai Ketua Pemuda... impian Datuk Onn sudah menjadi kenyataan dan diterima dengan mandat besar daripada rakyat menerusi Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir juga menggulung perbahasan berkaitan isu antarabangsa berkata, orang Melayu mesti menyelami semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjadikannya batu loncatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“DEB pemangkin kejayaan bangsa dan maruah Melayu, bukan saja dalam negara tetapi dunia global,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Jumlah sekolah
4,036
Sekolah kebangsaan
1,555
Tiada bekalan air
794
Belum mendapat bekalan elektrik





Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768