‘Bukan agenda tersembunyi’
Naib Ketua Pemuda Umno mahu DEB diperkenalkan semula dalam RMK-9 untuk pertingkat martabat Melayu agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara
NAIB Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu pelaksanaan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak lagi menjadi agenda tersirat dan tersembunyi, sebaliknya dilakukan secara terbuka demi meningkatkan martabat bangsa Melayu.
“DEB ini tidak wajar menjadi agenda tersirat atau satu perkara semangat dan roh saja. Kita tidak rasa segan untuk kembali memperkenalkan dasar itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
“Tak payah sembunyi lagi... terus sebut DEB adalah agenda Melayu sama ada menerusi pertanian dan sebagainya,” katanya ketika menggulung perbahasan.
Sehubungan itu, Khairy meminta sokongan ahli dan pemimpin Pemuda untuk beliau membawa usul mengembalikan semula DEB pada perhimpunan agung parti kali ini.
Khairy berkata, Pemuda Umno perlu menjadi gerakan yang berkesan dalam mencapai semula matlamat DEB menjelang 2020.
Beliau berkata, Pemuda Umno perlu kuat dan tidak boleh berpecah jika mahu suara mereka terus didengar, dihormati dan disegani.
“Kira-kira tujuh tahun lalu, Pemuda Umno pernah melalui zaman getir apabila ramai pemimpin kanannya meletak jawatan dan ketika itu, tidak ada sesiapa yang mempedulikan apa pendirian Pemuda.
“Ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang keseorangan berjaya membina semula Pemuda Umno dan sehingga ini berupaya meletakkan semula Pemuda pada hala tuju serta landasan yang betul,” katanya yang menyifatkan Hishammuddin sebagai ‘sinseh’ (penawar penyakit ketika membina semula Pemuda) dan sifu, iaitu guru kepada kejayaan Pemuda sekarang.
Beliau berkata, barisan kepemimpinan Pemuda sedia ditegur ahli, tetapi pada masa sama pemimpin juga perlu diberi peluang untuk memberi penjelasan terhadap apa juga perkara yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, katanya, setiap usul dan perkara dibangkitkan bukan bertujuan mencari siapa betul dan siapa salah, sebaliknya untuk bermuhasabah diri.
Sementara itu, Khairy ketika ditemui selepas persidangan berkenaan berkata, beliau akan membawa usul ekonomi pada perhimpunan hari ini bagi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai masa depan DEB bahagian kedua yang Pemuda akan ketengahkan.
“Saya akan membawa usul dan membahas isu ekonomi kerana Pemuda serius mahu meningkatkan ekonomi bangsa Melayu berikutan sasaran 30 peratus penguasaan ekonomi Bumiputera sebelum ini, tidak tercapai.
“Sebab itu, kita rasakan perlu perkara ini dibangkitkan supaya DEB dapat diperkenalkan semula dengan mekanisme dan pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan,” katanya.
|