Usul teguh Putera lulus

PERSIDANGAN Perwakilan Pemuda Umno meluluskan sebulat suara pindaan Peraturan Pemuda untuk menjadikan Putera Umno sebagai pergerakan kekal.

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menyampaikan ucapan dasarnya, dibahaskan perwakilan sebelum diluluskan.

Dengan termaktubnya Putera Umno dalam Peraturan Pemuda, pergerakan itu berharap dapat melihat ia digerakkan dengan tersusun dan boleh diwariskan kepada kepemimpinan akan datang.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata setakat ini ada 107,032 ahli Putera berusia di antara 18 dan 25 tahun dan ia dijangka meningkat apabila semua Putera negeri dilancarkan.

Beliau berkata, Putera yang dilancarkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Melaka pada 19 Jun lalu dengan dihadiri 31,900 ahli, tidak diterajui ketua pada peringkat bahagian seperti dalam Pemuda.

Sebaliknya, Putera Umno diterajui pengerusi dilantik di kalangan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian.

Beliau berkata, selepas pelancarannya di Melaka, Putera Umno akan dilancarkan di Kedah, Ogos ini dan diikuti dengan Johor, Perak dan negeri lain.

Sebagai permulaan, Putera Umno menubuhkan Kelab Motosikal bertujuan mengelakkan belia terbabit dalam lumba haram, katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768