Syor hukuman Mohd Isa dikaji semula
LEMBAGA Disiplin Umno diminta mengkaji hukuman Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang digantung keahlian selama enam tahun kerana beliau turut berjasa kepada parti.
Wakil Pemuda Umno Selangor, Mohd Azli Mohd Saad yang juga Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara berkata, bukan semua perwakilan yang mengundi Mohd Isa pada Perhimpunan Agung Umno September lalu menerima wang.
“Apakah kita hendak menafikan hak 1,500 pengundi Isa. Apakah kita hendak kata 1,500 orang ini terima duit. Apakah sebab duit, mereka hilang pertimbangan.
“Isa sudah menjadi ahli Umno berapa lama? Ketika parti menghadapi masalah, dia tak pernah keluar parti. Dia tak pernah masuk Keadilan. Apakah kita hendak orang macam ini duduk di luar. Kita minta Lembaga Disiplin kaji balik,” katanya.
Lembaga Disiplin menggantung keahlian Mohd Isa enam tahun selepas didapati bersalah melanggar tata etika pemilihan pada perhimpunan berkenaan. Setakat ini, Panel Rayuan Umno belum membuat keputusan berhubung rayuan Mohd Isa.
Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) membantu usahawan Bumiputera.
Beliau berkata, GLC yang diterajui pemimpin Umno harus memberikan kepercayaan kepada usahawan Bumiputera kerana jika bukan GLC yang membantu mereka, tidak mungkin syarikat bukan Bumiputera akan menghulurkan bantuan.
“Tadi kita jerit Melayu Boleh! tetapi kalau tak percaya kepada bangsa kita sendiri, siapa lagi nak bantu. Jangan jadi pengkhianat bangsa. Pemimpin di atas... menteri, kalau tak percaya kepada bangsa kita, siapa lagi,” katanya.
|