Singkatan AP untuk Ayah Pin

PERSIDANGAN Perwakilan Pemuda Umno gamat apabila Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim, menggunakan singkatan AP apabila menyentuh isu kumpulan ajaran sesat Ayah Pin.

“Ayah Pin pun AP juga. Siapa mahu AP ini boleh ambil... boleh kahwin ramai, boleh nikah batin... semua syok-syok dia ambil. AP ini lagi best,” katanya dalam ucapan yang diselit pelbagai jenaka ketika membentangkan usul terima kasih atas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Azimi yang sebelum itu menyentuh mengenai dasar pemberian permit import (AP) kereta, bagaimanapun serius apabila membahaskan soal Islam Hadhari.

Beliau menggesa kepemimpinan dan ahli Pemuda Umno supaya memperbetulkan sikap dan pemikiran orang Melayu yang lebih tertarik dengan ajaran yang merapu dan terpesong.

Katanya, inilah cabaran yang perlu disahut semua ahli Umno dengan menggunakan pendekatan Islam Hadhari seperti yang sedang diterapkan kerajaan.

“Itulah perangai orang kita, kalau benda baik, betul, ikut ajaran seperti sembahyang lima waktu, berpuasa, pergi haji, cari duit halal, mereka tak mahu. Tetapi kalau ajak dia sembahyang atau puasa dengan niat saja dan tak payah buat, itu dia suka,” katanya.

Kembali berseloroh, Azimi mengenakan pula perwakilan yang tidak kering gusi mendengar ucapannya dengan peringatan bahawa mereka juga tidak banyak bezanya daripada golongan orang Melayu yang diperkatakan itu.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768