Keris Panca Warisan kukuh tekad
PERSIDANGAN Perwakilan Pemuda Umno buat julung kalinya menyaksikan Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjulang Keris Panca Warisan yang menjadi pusaka dan simbol perjuangan pergerakan itu.
Keris sepanjang kira-kira 70 sentimeter itu, dijulang dan dikucup Hishammuddin pada akhir ucapan dasarnya, sambil berikrar:
“Kita berjanji akan kita pelihara keris ini untuk warisan masa depan Pemuda, Umno dan Melayu.”
Ikrar itu disambut tepukan gemuruh perwakilan dan sejurus kemudian, Hishammuddin melaungkan slogan ‘Hidup Umno, Hidup Melayu dan Allahu Akbar’.
Beliau menegaskan keris sebagai lambang Umno, kuasa raja dan legitimasi kesultanan Melayu, harus dipertahankan.
“Menerusi Keris Panca Warisan ini, kita mengisytiharkan tekad baru Pemuda untuk memastikan Umno terus diperkasa, orang Melayu akan terus dibela, kemerdekaan negara dipertahankan dan Islam dimartabatkan,” katanya.
Hishammuddin berkata, Pemuda akan terus melangkah penuh berani dan cekal dalam menghadapi cabaran.
“Keris yang kosong samalah seperti senjata tumpul yang tidak ada makna. Keris menjadi senjata Melayu kerana makna dan kekuatan semangat dalamannya.
“Maka, keris pusaka Pemuda yang kita namakan Keris Panca Warisan, akan diisi dengan sempurna.
“Sudah tiba masa keris ini diisi dan ditiup dengan semangat baru demi mempertahan hak, menegak kedudukan dan memperteguhkan jati diri Melayu,” katanya.
|