Usul Pergerakan Pemuda Umno

  • MENYEDARI kekuatan dan ketahanan Pemuda dalam era baru ini menuntut kepada keyakinan, keazaman dan komitmen tinggi dalam usaha memantapkan idealisme perjuangan bagi memenuhi matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara;

  • MENGINSAFI bahawa pemahaman dan penghayatan kepada ajaran Islam mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran serta bersedia menerima dan melaksanakan secara total konsep Islam Hadhari sebagai agenda pembangunan insan dan penerapan nilai murni agar agama Islam terus dipandang tinggi dan mulia;

  • MEYAKINI bahawa keutamaan menguasai ilmu akan memastikan kelangsungan dalam melahirkan serta mewujudkan generasi berdaya tahan, berdaya saing, berkeupayaan tinggi, berakhlak mulia dan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah pembentukan sebuah negara yang makmur dan maju;

  • MENGAKUI bahawa pembangunan bangsa akan hanya tercapai menerusi usaha gigih membangunkan jiwa serta pemikiran rakyat dalam menyemai nilai positif dan menolak segala bentuk pengaruh antikemajuan dan pemikiran sempit;

  • MENGINSAFI kegagalan untuk menguasai pengagihan ekonomi yang pada masa ini menjadi kekangan yang mampu menggugat maruah bangsa dan kedaulatan negara dan pelaksanaan semula Dasar Ekonomi Baru sebagai senjata paling ampuh mempertahankan ketuanan bangsa;

  • MAKA Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno mengambil ketetapan seperti berikut:

  • MENYOKONG penuh ucapan Ketua Pemuda Umno yang begitu menyeluruh dan secara jelas memperlihatkan idealisme serta kepentingan melaksanakan tanggungjawab Pemuda dalam memantapkan lagi jati diri Pemuda untuk mempertahankan maruah bangsa, kesucian agama dan kedaulatan negara;

  • MENGUCAPKAN setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada Ketua Pemuda kerana kesungguhan beliau mengembalikan serta memperkasakan Pemuda yang suatu ketika dulu diambil alih dalam satu keadaan yang cukup mencabar dan menguji daya tahan pemimpin dalam erti kata perjuangan sebenar;

  • MELAHIRKAN rasa bangga tidak terhingga terhadap kepemimpinan beliau yang terbukti berjaya memulihkan serta mengangkat imej Pemuda ke suatu tahap yang paling baik sehingga mampu menjadikan Pemuda sebagai institusi yang kembali berjaya mengajak dan menarik penyertaan golongan muda untuk terus sama-sama berjuang melaksanakan dan mempertahankan agenda parti;

  • MEMINTA dan menggesa Pemuda menghayati, menyelami, memahami serta bersatu hati menggembleng usaha, membulatkan tekad, menguatkan keazaman untuk memartabatkan pendidikan dan penguasaan ilmu agar ia terus menjadi elemen terpenting sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari untuk membantu menjadikan bangsa terus dihormati serta dipandang mulia;

  • BERIKRAR untuk sama-sama mengenepikan kepentingan peribadi, melempar jauh segala sikap negatif, mengelakkan perpecahan dan persengketaan, sebaliknya melengkapkan diri dengan nilai positif agar parti terus utuh serta unggul;

  • BERAZAM, BERTEKAD DAN BERIKRAR dalam usaha untuk memastikan parti serta maruah bangsa tidak terus hancur dinodai politik tidak bermaruah, Pemuda tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk rasuah politik dan menolak sekeras-kerasnya individu yang cuba merosakkan dengan menjahanamkan masa depan parti.

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768