Tujuh perkara jadi tumpuan
Pemuda Umno mahu memastikan Melayu tidak terpinggir dan mampu menguasai ekonomi apabila Malaysia menjadi negara maju pada 2020
PEMUDA Umno menggariskan tujuh perkara yang mesti diberi penumpuan untuk memastikan Melayu tidak terpinggir dan memastikan penguasaan ekonomi apabila Malaysia mencapai status negara maju pada 2020.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tempoh 15 tahun menjelang 2020 amat singkat dan oleh itu semua pihak perlu menumpukan tenaga dan pemikiran bagi melaksanakan tujuh perkara berkenaan, iaitu;
Strategi 'Pertumbuhan dengan Pengagihan' yang menjadi prinsip dan landasan DEB dalam memastikan agihan ekuiti 30 peratus kepada bangsa Melayu diteruskan dan dipelihara.
Penyertaan milikan harta orang Melayu perlu dominan dalam sektor terpilih dengan tumpuan kepada industri bioteknologi, perladangan, pertanian, angkasa lepas, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi, makanan halal, petroleum dan gas, perbankan dan kewangan, automotif, tenaga dan utiliti serta perkhidmatan dan pelancongan.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggandakan usaha membentuk dan melahirkan usahawan Bumiputera dengan nilai utama keusahawanan dan jati diri.
Pembangunan dari segi peruntukan pembiayaan dan perancangan di luar bandar diberi nafas baru melalui suntikan pelaburan besar yang perlu disegerakan.
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kecekapan pengurusan bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat kerajaan lain yang diswastakan tidak hanya diukur berdasarkan produktiviti dan keuntungan semata-mata tetapi turut memberi penekanan kepada kepentingan agenda Melayu.
Kesal dengan kebocoran dalam pelaksanaan tender Bumiputera dan sistem penyampaian tidak efisyen yang menyumbang kepada kegagalan pencapaian pemilikan ekuiti orang Melayu serta menyelar syarikat Melayu yang diberi tanggungjawab tetapi mengkhianati amanah itu, dan
Mewujudkan sistem pemantauan dengan keupayaan yang mencukupi supaya berfungsi secara aktif sebagai pengimbang dan pembetulan kepada sistem penyampaian yang digunakan bagi memastikan perancangan dan agenda Melayu terlaksana.
Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pencapaian orang Melayu dalam pendidikan menjadi asas menentukan kedudukan bangsa pada 2020 yang menuntut pelaksanaan perubahan bagi mengangkat sistem pendidikan negara bertaraf dunia.
|