Pemuda gesa tahan Ayah Pin
WAKIL Pemuda Terengganu, Razali Alias menggesa kerajaan segera menahan Ayah Pin kerana ajaran sesatnya bukan setakat mengancam akidah umat Islam di negeri itu, malah negeri lain.
Beliau yang mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa menahan Ayah Pin meminta kepemimpinan Pemuda Umno mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin atau Majlis Agama Islam Terengganu untuk membantu membanteras ajaran Ayah Pin.
"Mengapa kita tak bertindak? Kita takut? Jangan main-main dengan hal akidah. Pemuda Terengganu mendesak kepemimpinan Pemuda Umno berbincang dengan pihak berkuasa untuk tangkap Ayah Pin.
"Apakah dia ada kerajaan langit, kita takut? Kami Pemuda Terengganu memainkan peranan paling penting merampas semula Terengganu daripada Pas. Apakah kita tak berani mengambil tindakan terhadap Ayah Pin?" katanya.
Beliau yang turut menyentuh aspek Islam Hadhari supaya dijadikan dasar kerajaan negeri menegakkan syariat Islam di negeri itu, mencadangkan kerajaan negeri lain mencontohi langkah itu.
Beliau berkata, dakwaan Pas Kerajaan Terengganu merobohkan sebuah masjid yang dalam pembinaan baru-baru ini tidak benar sama sekali dan jika benar ia berlaku, Pemuda negeri tidak akan memberikan sokongan, malah menentang pentadbiran Barisan Nasional (BN).
"Empat tahun Pas memerintah Terengganu, tak ada satu pun masjid dibina tetapi sekarang, kerajaan BN sudah meluluskan pembinaan 32 masjid seluruh negeri," katanya.
|