Melayu bodoh, malas persoalan utama Pemuda
ADAKAH bodoh atau malas punca orang Melayu gagal mencapai sasaran 30 peratus penguasaan ekuiti negara? Inilah persoalan yang dilontarkan pada persidangan perwakilan pergerakan itu semalam.
Ketua Pemuda Umno Seremban, Mohd Rosli Alias, berkata tidak benar kedua-dua faktor itu menjadi punca kegagalan orang Melayu, sebaliknya Melayu adalah bangsa yang rajin dan bijak.
Mohd Rosli berkata, orang Melayu juga bijak berniaga pada peringkat antarabangsa sejak lama dulu.
"Sejarah Kesultanan Melaka begitu hebat, kita menjalankan kegiatan ekonomi dengan orang luar. Bukan hari ini saja kita jalankan perniagaan import-eksport tetapi sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.
“Pada pandangan saya, masalah kegagalan bangsa Melayu dalam ekonomi ini yang paling ketara ialah penguasaan oleh kaum bukan Melayu.
"Mereka sudah memonopoli bidang ekonomi sehingga terlalu sukar untuk bangsa kita bersaing dan memecah monopoli mereka. Mereka menguasai dari peringkat pembuatan, import-eksport dan pemasaran," katanya.
Katanya, kelemahan dikaitkan dengan orang Melayu kerana bangsa itu tidak menanam semangat berniaga kepada anak mereka, melainkan bekerja dengan kerajaan dan mempunyai cuti yang cukup untuk pulang ke kampung.
"Dulu ibu bapa tidak galak anak-anak berniaga, sebaliknya mereka suruh saja bekerja dengan kerajaan, terutama askar dan polis, itu menjadi kebangaan mereka. Mak bapa hanya tanya berapa lama cuti, bagi mereka cuti itu penting bukan kejayaan ekonomi," katanya.
Justeru, Mohd Rosli meminta Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memperkenalkan kurikulum asas perniagaan pada peringkat sekolah rendah lagi bagi menyemai minat berniaga di kalangan anak Melayu.
|