Kemiskinan bukan penghalang kecemerlangan pelajar Melayu

KEMISKINAN tidak seharusnya menghalang kecemerlangan pelajar Melayu dan menjadi punca utama keciciran mereka dalam pelajaran kerana Kementerian Pelajaran akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada golongan itu.

Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata bantuan itu termasuk skim baucar tuisyen, kumpulan wang amanah pelajar miskin, biasiswa, skim pinjaman buku teks dan rancangan makanan tambahan.

Beliau berkata, kerajaan setakat ini sudah membelanjakan RM1.4 bilion dan jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan untuk asrama harian kepada pelajar miskin dan di pedalaman.

"Jurang pendidikan bandar dan luar bandar boleh membataskan pencapaian pelajar Melayu dan ini bertepatan dengan agenda Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mengimbangi pencapaian sekolah bandar dan luar bandar.

"Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) kerajaan memperuntukkan lebih 60 peratus untuk pembangunan khas bagi pendidikan luar bandar, kemudahan asas bekalan air dan elektrik di sekolah dan rumah guru," katanya dalam ucapan penggulungan.

Hishammuddin berkata, pihaknya yakin peruntukan untuk pendidikan anak luar bandar akan meningkat dalam RMK-9 dan kementerian akan memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukannya.

Sehubungan itu, beliau berharap Biro Pendidikan Umno di setiap bahagian dapat digerakkan untuk mengenal pasti peruntukan disalurkan kepada pelajar miskin selain tidak berlaku pembaziran serta pertindihan.

"Saya yakin bangsa Melayu akan terus cemerlang jika meletakkan agenda pendidikan sebagai agenda utama kerana selagi ada jurang antara miskin dan kaya, luar bandar dan bandar serta jurang digital dan kurang kesedaran mengenai pendidikan adalah sukar pelajar Melayu bersaing secara adil," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768