Pelajar Melayu ucap terima kasih kepada Pemuda

“TABUNG Pendidikan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (TPPU) banyak membantu saya mengejar cita-cita menjadi seorang doktor,” kata Nor Adila Mohana, 20, pelajar tahun dua Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Beliau yang mendapat biasiswa penuh daripada TPPU berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan anak Melayu mampu berjaya.

“Tabung yang ditubuhkan Pemuda Umno banyak membantu anak Melayu seperti saya untuk melanjutkan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang perbelanjaannya mahal,” katanya yang ditemui pada majlis perjumpaan 105 pelajar TPPU bersama Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, semalam.

Beliau yang meminati kepemimpinan Hishammuddin berkata, perjuangan yang dibawa Umno menerusi sayap Pemuda dalam bidang pendidikan, sewajarnya disanjung kerana ingin memartabatkan anak bangsa.

Mohd Bakhtiar Mustafa, 23, yang mengambil kursus hiasan dalaman dan seni bina berkata, TPPU mampu mengangkat martabat anak bangsa terutama dalam bidang pendidikan.

“Saya sudah cuba bermacam-macam biasiswa tetapi ditolak kerana kursus yang saya inginkan dikatakan tidak ditaja. Tetapi tabung inilah yang memberi saya harapan untuk mengejar cita-cita,” katanya.

Sharifah Arafah Wan Abdillah Edruce, 19, berharap tabung itu akan terus membantu lebih ramai anak Melayu melanjutkan pelajaran sekali gus bersaing dengan kaum lain.

“Walaupun TPPU baru tiga tahun ditubuhkan tetapi sumbangannya kepada anak bangsa amat besar,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768