‘Lapor jika ada bukti politik wang’
KUALA LIUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein, meminta ahli Umno yang mempunyai bukti kukuh mengenai dakwaan politik wang pada pemilihan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) kelmarin, supaya mengemukakannya menerusi saluran parti.
Beliau berkata, tuduhan mengenai pembabitan calon dalam politik wang memang perkara biasa setiap kali pemilihan berlangsung pada Perhimpunan Agung Umno kerana dalam setiap pertandingan sesuatu jawatan tentu ada yang menang dan kalah.
“Bagi mereka yang membuat tuduhan ini, kita mempunyai saluran tertentu dan mereka boleh menyampaikan bukti,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan 105 pelajar tajaan Tabung Pendidikan Pemuda di sini, semalam.
Hishammuddin juga meminta ahli agar tidak menggembar-gemburkan perkara itu sehingga menimbulkan perasaan kecewa yang akhirnya menjadi bahan perbualan termasuk di luar parti.
Mengulas perasaan tidak berpuas hati segelintir ahli Umno mengenai keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden, kelmarin, beliau berkata, calon yang kalah mungkin memerlukan sedikit masa untuk menerima keputusan itu secara rasional.
Hishammuddin juga berkata, ahli Umno termasuk Pemuda sudah menyatakan dengan jelas menolak budaya politik wang yang bukan saja akan menjejaskan nama baik calon tetapi menghancurkan parti sendiri.
“Saya bertekad bersama rakan seperjuangan untuk menentang budaya politik wang dan menyeru semua ahli kembali melihat kepada perjuangan asal dengan menekankan nilai agama untuk mempertahankan diri daripada terjebak dalam gejala ini sama ada sebagai calon atau perwakilan,” katanya.
Mengenai barisan baru Naib Presiden dan MT, beliau mengucapkan tahniah kepada calon yang menang.
“Perwakilan sudah membuat keputusan bijak dan sudah tiba masanya ahli Umno merapatkan lagi barisan kerana jawatan yang dipikul itu adalah satu amanah dan bukan untuk selama-lamanya,” katanya.
Ditanya sama ada wujudnya dua kumpulan calon Exco Pemuda yang menang, beliau berkata, perkara itu tidak benar dan tidak berasas kerana beliau sudah meneliti serta mengikuti perkembangan anggota Pemuda bermula daripada mesyuarat cawangan hingga mesyuarat bahagian.
“Jika dikaji sedalam-dalamnya, calon yang menang adalah mereka yang rajin turun padang dan perwakilan mengenali calon yang memiliki karisma sekali gus menolak anggapan bahawa calon yang menang mempunyai kaitan dengan sesetengah negeri.
“Ini menunjukkan pemilihan barisan Exco Pemuda adalah kehendak perwakilan yang bijak membuat keputusan tetapi bagi negeri yang tidak mempunyai wakil calon, saya akan melantik wakil tetapi bergantung kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
|