Usul sosioekonomi

PENCADANG: Pergerakan Pemuda Umno
PENYOKONG: Umno Pahang


  • MENGAKUI walaupun usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan telah mencapai banyak kemajuan, namun masalah kemiskinan masih wujud di kalangan orang Melayu dan Bumiputera, sama ada kemiskinan mutlak mahupun relatif, dengan jurang pendapatan kian melebar di antara Bumiputera serta di antara penduduk bandar dengan luar bandar.

  • MENGINSAFI pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera perlu dipertingkatkan lagi, manakala pemilikan aset Bumiputera di bandar dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan tertinggi di sektor swasta perlu mencerminkan komposisi kaum.

  • MENYEDARI tahap pencapaian akademik dan daya saing pelajar Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan perlu diperhebatkan lagi.

  • MENYEDARI masalah sosial, kes juvana, kes keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Melayu di tahap yang membimbangkan dan salah laku sosial yang kian meningkat.

  • MAKA, Perhimpunan Agung Umno yang bersidang pada hari ini mengusulkan perkara berikut:

  • MEMBANTU usaha kerajaan dalam memastikan golongan Melayu dan Bumiputera membina ketahanan dan keupayaan berdaya saing di arena ekonomi nasional mahupun antarabangsa.

  • MENGEMBALIKAN kebijaksanaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mengukuh serta merancang strategi baru bagi memajukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, dalam konteks pembangunan negara keseluruhannya menerusi langkah-langkah berikut:

    i) Memastikan tahap pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti orang Melayu dan Bumiputera di dalam aktiviti ekonomi negara di capai pada 2010.

    ii) Meningkatkan tahap pemilikan hartanah Bumiputera di bandar.

    iii) memastikan langkah penyusunan semula guna tenaga profesional dilipat gandakan dengan menggesa sektor swasta dan syarikat milik kerajaan mengambil lebih ramai tenaga kerja profesional Bumiputera terutamanya di peringkat pengurusan tinggi.

    iv) Mempergiatkan usaha meningkatkan bilangan golongan menengah Bumiputera bagi mempercepatkan pembangunan Masyarakat Perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB), Usahawan Bumiputera, Teknokrat Bumiputera, Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera.

    v) Menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan kemiskinan relatif di kalangan pelbagai kaum, dalam dan luar bandar.

    vi) Memastikan penyertaan dan kepentingan Bumiputera diambil kira dalam proses penyusunan semula penyatuan dan rasionalisasi syarikat.

  • MENDESAK kerajaan memperbaiki dan meningkatkan pemantauan, pelaksanaan dan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi negara.

  • MENYOKONG usaha-usaha kerajaan yang memberi keutamaan kepada sektor pertanian dan memodenkan industri Itu di dalam memaju dan merangsang ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan Bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar.

  • MENDUKUNG usaha kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan dan menjadikannya sekolah pilihan semua kaum di samping memartabatkan profesion keguruan.

  • MENGGESA kerajaan berusaha meningkatkan kualiti pendidikan bagi menyediakan pelajar Melayu dan Bumiputera yang lebih berdaya saing, di samping memperluas konsep pendidikan vokasional dan latihan kemahiran bagi melahirkan generasi Melayu dan Bumiputera yang berdikari.

  • MENYOKONG usaha kerajaan melaksanakan sistem meritokrasi bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi, dengan memastikan penyertaan pelajar Bumiputera yang lebih seimbang dan saksama dalam bidang kritikal.

  • MEMPERGIAT usaha memupuk perpaduan nasional di semua peringkat masyarakat dan menamakan semangat patriotisme dalam sistem pendidikan bagi memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.

  • MENGGESA suatu permuafakatan yang mantap dan bersepadu diwujudkan antara Umno, kerajaan dan pertumbuhan sosial untuk melaksanakan Pelan Tindakan Sosial dengan lebih berkesan bagi menangani gejala sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu masa kini.

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768