Persidangan Pemuda: Henti pertikai status UiTM: Pemuda

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno semalam memberi mesej jelas dan tegas bagi mengingatkan mana-mana pihak supaya jangan lagi cuba mempertikaikan penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dikhususkan untuk Bumiputera, terutama bagi memelihara kepentingan orang Melayu.

Exco Pemuda Pusat yang juga Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang begitu bersemangat ketika berucap, mengingatkan pihak yang mempertikaikan penubuhan UiTM supaya tidak cuba menjolok sarang tebuan.

Beliau berkata, penubuhan UiTM adalah satu kontrak sosial yang diusahakan bagi meningkatkan pendidikan orang Melayu yang ketinggalan sejak sekian lama.

“Oleh itu, saya memberi amaran jangan ada mana-mana pihak cuba menjolok sarang tebuan, jika ia terus dipertikai Pemuda Umno akan bangkit mempertahankan UiTM.

“Umno dan Pemuda Umno khususnya adalah pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai saham besar dalam kewujudan UiTM bagi meningkatkan mutu pendidikan Bumiputera,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Membahaskan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Wan Ahmad Farid berkata walaupun ada ikatan yang baik antara parti komponen Barisan Nasional (BN), ia tidak wajar mendesak sesuatu secara keterlaluan.

“Jika ada pihak suka mendesak sesuatu yang bukan-bukan, nanti Pemuda Umno juga akan mendesak mereka terhadap apa yang mereka ada pula,” katanya.

Beliau berkata, UiTM adalah sebuah institusi yang berjaya memartabatkan maruah orang Melayu dalam bidang pendidikan dengan melahirkan ramai golongan profesional.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu kerajaan segera menubuhkan semula Institut Teknologi Mara (ITM) di seluruh negara yang ‘hilang’ selepas kewujudan UiTM.

Katanya, dengan meningkatkan pendidikan di kalangan orang Melayu akan merapatkan jurang ekonomi dan membantu taraf hidup orang Melayu.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768