Guru ‘kelas dua’, murid Ulu Tembeling tercicir

TIADA seorang pun murid dari empat sekolah rendah di Ulu Tembeling, Pahang, berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan kemunduran di kawasan itu.

Pendedahan itu dibuat perwakilan Pemuda Umno Pahang, Wan Amizan Wan Abdul Razak ketika membahaskan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Beliau berkata, untuk sampai ke Ulu Tembeling mengambil masa kira-kira lima jam menggunakan bot dengan tambang sebanyak RM45.

Katanya, minuman Coca-Cola di situ pula berharga RM5 dan tidak ada siaran televisyen manakala Astro hanya sampai ke kawasan itu empat bulan lalu.

“Selain itu, kebanyakan sekolah berkenaan mempunyai guru ‘kelas dua’ dan bukan guru terbaik kerana kebanyakan guru yang dihantar adalah guru bermasalah.

“Ada antara guru terbabit menunjukkan gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan berkata kepada murid di sekolah berkenaan, inilah bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Keadaan itu sudah tentu membantutkan usaha memberi pelajaran terbaik kepada murid di kawasan berkenaan.

“Jika guru yang bermasalah terus dihantar ke kawasan berkenaan, usaha melihat anak Melayu berjaya tidak akan tercapai seperti yang diharapkan,” katanya sambil meminta ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein selaku Menteri Pelajaran memberi perhatian serius terhadap keadaan itu.

Namun, katanya, Pemuda Umno Pahang akan terus membantu pergerakan itu dalam memastikan penduduk di kawasan berkenaan mendapat pendidikan sewajarnya.

Amizan juga mahu kerajaan memberi perhatian khusus terhadap anak peneroka generasi kedua di kawasan Felda yang terabai.

Beliau berkata, ada pihak hanya meraih keuntungan hasil titik peluh daripada peneroka Felda tetapi membiarkan pelbagai masalah terutama gejala sosial di kalangan anak peneroka terus berleluasa.

"Generasi kedua peneroka Felda seakan langsung tidak dipedulikan terutama dari segi kegiatan sukan dan persatuan.

"Ada persatuan di kawasan Felda langsung tidak ada sumber kewangan yang mencukupi untuk menjalankan kegiatan sukan seperti menyediakan padang bola," katanya.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768