‘Jangan angkuh menang besar’

AHLI Umno diingatkan supaya tidak angkuh dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Terengganu dalam pilihan raya umum lalu dan pada pilihan raya kecil Kuala Berang, sebaliknya ia hendaklah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mengekalkan kejayaan itu.

Peringatan itu disampaikan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, pada sesi perbahasan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pemuda Umno.

Beliau berkata Pemuda Umno mesti bergerak lebih aktif menentang budaya negatif parti pembangkang daripada menular ke dalam Umno.

“Kejayaan menawan semula Terengganu dan kemenangan di Kuala Berang membuktikan usaha bersungguh-sungguh, Umno boleh berjaya," katanya.

Sementara itu, wakil Pemuda Umno Sabah, Salim Kalbi, berkata Umno berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Sabah terutama di kalangan generasi baru yang kian menyerlah dalam kepemimpinan Umno bahagian.

Beliau berkata, sejak Umno bertapak pada 1991, Umno Sabah bukan saja berjaya mewujudkan gagasan yang mengetepikan elemen perkauman, malah menghasilkan formula terbaik merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat pelbagai kaum.

"Ketika itu, Allahyarham Tun Datu Mustapha berkata, sekarang kita berpindah daripada perahu kecil kepada perahu lebih besar, iaitu Umno yang kini ternyata berjaya menganugerahkan pelbagai nikmat kepada kita khususnya rakyat pribumi di Sabah," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Silang, berkata perjuangan Umno di Sabah kian mendapat perhatian di kalangan generasi muda dengan penyertaan lebih 17 muka baru dalam kepemimpinan pemuda bahagian.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768