|
|
|
|
|
|
|
|
Jamlus sindir sikap syarikat
KETUA Pemuda Umno Tampin, Jamlus Aziz (gambar) menyindir sesetengah syarikat yang menetapkan pengalaman sebagai syarat sebelum menerima penyertaan seseorang usahawan.
Sambil merujuk tindakan negara maju menghantar angkasawan ke bulan, beliau berkata angkasawan mereka tidak pernah ke bulan sebelum itu tetapi berjaya pergi dan pulang dengan selamat selepas diberi latihan sempurna dan mencukupi.
Sehubungan itu, katanya, konsep yang sama wajar diamalkan syarikat berkenaan bagi membantu golongan usahawan, terutama yang baru pertama kali ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
"Banyak syarikat yang ekuitinya dimiliki kerajaan tetapi malangnya skim vendor di sesetengah syarikat ini yang bertujuan membantu usahawan, gagal berfungsi dengan baik.
“Sesetengahnya hanya mengutamakan keuntungan," katanya pada sesi perbahasan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pemuda Umno.
Justeru, katanya, beberapa syarikat utama seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Petronas perlu lebih komited meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan.
Jamlus juga menegur Fama dan Mardi kerana tidak mempunyai kakitangan terlatih dan berpengalaman bagi membantu golongan sasaran.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|