Reaksi Ucapan Dasar Ketua Pemuda
“GOLONGAN penderhaka menjejaskan imej Umno bukan saja dalam negara, malah hingga ke peringkat antarabangsa kerana mereka meminta bantuan orang asing.
"Umno sudah jelas menutup pintu kepada golongan ini dan mereka tidak wajar diterima kembali kerana Umno mampu meneruskan perjuangan dan kejayaan tanpa mereka." – Exco Pemuda Datuk Azimi Daim
“UMNO tidak perlu memberi tempat kepada mereka yang pernah menjual negara demi kepentingan peribadi.
"Selepas pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Berang yang menyaksikan kemenangan BN, Umno dilihat lebih bersatu dan tak perlu bagi ruang kepada musuh.” – Exco Pemuda Datuk Mukhriz Mahathir
“UMNO tetap kukuh walaupun tanpa kehadiran semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas ahli lain Parti Keadilan.
"Yang pasti tanpa beliau (Anwar), Umno tetap kukuh. Racun tetap racun dan jangan tersilap anggap racun itu sebagai ubat kerana tindakan itu boleh membawa maut." – Ketua Pemuda Langkawi, Mohd Rawi Abdul Hamid.
"MEMBENARKAN penderhaka kembali kepada Umno akan hanya mengundang perpecahan dan merosakkan parti. Oleh itu mereka tidak wajar diterima kembali.
"Mereka yang terbukti penderhaka wajar ditolak kerana tidak ada tempat bagi orang seperti itu dalam Umno selepas apa yang mereka lakukan terhadap parti." – Perwakilan Pemuda Kulai, Abdul Rahman Abdullah
"MEREKA yang sudah terbukti penderhaka tidak wajar diterima kembali kerana Umno perlu belajar daripada sejarah bahawa ia akan menyebabkan orang Melayu terus tertinggal di belakang.
“Mereka yang menjadi penderhaka bukan saja menderhaka kepada Umno tetapi menderhaka kepada rakyat kerana merosakkan negara.” – Perwakilan Pemuda Semporna, Hamid Apdal
“AHLI Umno tidak seharusnya berkompromi membawa semula mereka yang sudah memalit arang kepada perjuangan parti.
“Anwar sudah tidak relevan kepada perjuangan parti. Justeru, Pemuda dan Umno amnya sudah menggerakkan strategi untuk menghadapi apa juga tentangan yang bakal dibentangkan Anwar.” – Naib Ketua Pemuda Rembau, Mohd Ariff Abu Hassan
“SEBAHAGIAN besar ahli Umno menolak sekeras-kerasnya kemasukan semula Anwar biarpun kita tahu ada usaha yang sudah dibuat beberapa bahagian dalam Umno sendiri untuk membawa masuk semula Anwar.
“Kita juga tidak boleh terima orang Umno yang terbukti mempunyai kes moral. Jika kita terima mereka masuk semula dengan mudah, di mana kita letak maruah kita.” – Perwakilan Pemuda Jelutong, Pulau Pinang, Jibran Khalil Sinda Madar
“PENDERHAKA yang sudah membuat onar dan pernah memalukan pemimpin Umno dengan membuat protes jalanan dan berusaha mendapatkan campur tangan pihak luar mesti dihalang terus daripada memasuki semula parti.
“Cukuplah sekali Umno terjejas oleh tingkah laku yang tidak bertanggungjawab mereka yang mempunyai wawasan perjuangan sempit.” – Ketua Pemuda Beluran Abdul Wahab Abdul Gani
|