Sumbangan pemimpin muda dituntut

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mengingatkan pemimpin Kelab Umno Luar mengenai peranan mereka sebagai generasi muda bagi membantu negara mencapai Misi Nasional, selain mengharungi dan mengisi fasa 50 tahun kedua selepas merdeka.

Peringatan itu disampaikan Perdana Menteri dalam pertemuan kira-kira sejam dengan 63 Pengerusi dan wakil Kelab Umno Luar Negara yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir sama, Pengerusi Kelab Umno Luar Negara yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Mohd Shafie yang ditemui selepas itu berkata, Perdana Menteri menerangkan kepada wakil Kelab Umno Luar Negara mengenai cabaran yang bakal diharungi generasi muda masa kini menuju 2020 dan 2057 untuk menjadi negara maju.

Katanya, Perdana Menteri juga menyatakan beliau meletakkan harapan pada generasi muda supaya bukan saja melengkapkan diri dengan moral dan integriti, malah menekankan modal insan dari segi ilmu.

“Itu amanat dan nasihat yang ditekankan kepada generasi anak-anak bangsa Melayu supaya menjadi pengurus dan pentadbir yang mempunyai ilmu untuk membangunkan negara. Itulah perkara utama disampaikan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab berkenaan, Aminuddin Abdul Nasir berkata, Presiden memberikan peringatan penting mengenai hala tuju negara 50 tahun akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Umno Leeds dan Bradford, United Kingdom berkata, mereka juga dituntut memberi sumbangan membina serta menunaikan Misi Nasional.

“Insya-Allah kami akan berusaha ke arah itu. Selaku pelajar di luar negara, kami berjanji akan pulang dan berbakti pada negara,’ katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768