10 firma Melayu akan ke bursa

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti lima hingga 10 syarikat Bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan Mesdaq tahun depan sebagai usaha untuk meneruskan perjuangan bagi mencapai matlamat Agenda Melayu.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata penyenaraian syarikat itu sama ada di Papan Utama, Kedua atau Mesdaq akan diputuskan jawatankuasa program Skim Jejak Jaya Bumiputera yang dipengerusikannya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik untuk mengenal pasti syarikat Bumiputera yang menunjukkan rekod baik.

“Syarikat Bumiputera yang ada potensi akan disenaraikan, tetapi perlu sedikit bantuan kerajaan. Orang putih kata the last mile... jika ada bantuan kerajaan dalam masa terdekat, syarikat itu boleh disenaraikan,” katanya ketika menggulung perbahasan.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan kriteria pemilihan syarikat yang layak itu akan berasaskan kemampuan mengendalikan syarikat dan bukannya siapa yang mengendalikan syarikat itu.

“Dulu barang kali kita banyak utamakan kepada siapa pemilik syarikat, bukannya bagaimana mereka mengendalikan syarikat, tetapi sekarang jika mereka tahu bagaimana mengendalikan syarikat, kita akan bantu, insya-Allah mereka boleh bertahan sehingga menjadi syarikat besar yang boleh kita banggakan,” katanya.

Dalam tempoh 13 tahun sebelum 2020, Najib berkata, pertumbuhan penguasaan ekuiti Bumiputera mesti melebihi perkembangan pertumbuhan pasaran setiap tahun supaya matlamat pemilikan ekuiti 30 peratus dapat dicapai pada tahun itu.

“Ekuiti Bumiputera masih terlekat pada 18.9 peratus. Apabila ekuiti Bumiputera berkembang pada kadar hampir sama perkembangan kadar pasaran, jadi walaupun pasaran jadi besar peratusan kita masih kekal pada lingkungan 18 peratus.

“Jika pasaran tumbuh 12 peratus, ekuiti Bumiputera mesti berkembang 15 peratus atau lebih, barulah kita akan sampai matlamat 30 peratus menjelang 2020,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, Umno akan meneruskan usaha mencapai matlamat agenda Melayu dan pada masa sama memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba menafikan hak orang Melayu.

“Apabila kita berlaku adil terhadap orang lain, apabila tak mengambil hak orang lain, tidak menafikan hak orang lain, jangan sesiapa menafikan hak orang Melayu kerana kesabaran orang Melayu juga ada hadnya,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan meneruskan Agenda Melayu dibuat supaya lambakan ketempangan yang wujud selama ini dapat diperbetulkan.

“Kepada mereka yang di luar, terutama mereka yang cuba mempertikaikan perkara ini, elok rasanya kita nyatakan, mereka perlu mengenali siapa orang Melayu... kerana orang Melayu cakapnya beralas, sindirnya berasas, tegurnya tegas, tunduknya bukan tewas, beraninya tiada batas, kelihatan lembut tapi keras.

“Melayu bangsa yang sopan kerana agama jadi panduan, sanggup mati kerana kawan namun sabarnya ada sempadan,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768