KHEDN ambil alih operasi depot tahanan

KEMENTERIAN Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mengambil alih operasi semua depot tahanan pendatang asing daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) bagi meningkatkan keberkesanan usaha mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata Kabinet memutuskan semua depot tahanan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada KHEDN supaya operasinya dapat diperkemas dan bilangan depot diperbanyakkan bagi menampung peningkatan pendatang asing yang ditahan.

“Berikutan keputusan itu, agensi penguatkuasaan kementerian saya dibantu Rela akan memperhebatkan kegiatan memburu pekerja asing tanpa izin dan mereka yang berada secara tidak sah dalam negara kita.

“Laporan tangkapan akan diumumkan untuk pengetahuan umum setiap minggu," katanya dalam ucapan penangguhan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno berkata demikian bagi mengulas kebimbangan sebahagian besar perwakilan berikutan kehadiran terlalu ramai pekerja asing dan meminta dasar pengambilan pekerja asing dikaji semula.

Mereka bimbang kehadiran ramai pekerja asing menjejaskan peluang rakyat tempatan dan mengganggu gugat keselamatan kerana kejadian jenayah membabitkan warga asing semakin meningkat. Mengulas lanjut, Radzi berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini turut membuat beberapa ketetapan lain, termasuk meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) membuat kajian dan merumus garis panduan mengenai had siling pekerja asing yang dibenarkan bagi setiap sektor pekerjaan.

“Selain itu, Kementerian Sumber Manusia dikehendaki mengiklankan kekosongan jawatan selama dua minggu untuk diisi pekerja tempatan sebelum jawatan berkenaan dibuka kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kawalan pengambilan pekerja asing, KHEDN juga mewajibkan majikan yang mahu mengambil pembantu rumah asing mengambil insurans bagi mengurangkan kos perubatan yang perlu ditanggung kerajaan.

Syarat itu, katanya, akan diperluaskan kepada semua pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia dalam semua sektor tidak lama lagi.

Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata, kerajaan akan menambah bilangan anggota penguat kuasa Imigresen daripada 1,200 kepada 5,000.

Radzi berkata, hingga kini bilangan rakyat asing yang bekerja secara sah di Malaysia ialah 2.021 juta dan mereka ialah dari Indonesia, Bangladesh, Kemboja, China, India, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Uzbekistan dan Vietnam.

Katanya, pekerja asing bukan tinggal selama-lamanya di Malaysia kerana kementeriannya merekodkan jumlah yang kembali ke negara asal berdasarkan memo pemeriksaan keluar di pintu keluar setiap tahun.

Pada 2005, sejumlah 260,523 pekerja asing balik ke negara asal, 2006 (275,592) dan hingga Oktober 2007 (227,218).

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768