‘Pelapis perlu amanah, berilmu’ pengetahuan

NAIB Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, mengingatkan mengenai perlunya Umno menyediakan barisan pelapis yang amanah dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan supaya menjadi pemimpin yang melangkaui zamannya.

Beliau berkata, ini penting kerana mengurus parti dan negara pada masa akan datang lebih sulit dan rumit dengan segala macam cabaran dan tuntutan daripada orang Melayu dan bukan Melayu.

“Justeru, cabaran besar kita ialah menyediakan barisan pemimpin pelapis di kalangan orang Melayu dan melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan untuk menjadi pemimpin yang melangkaui zamannya.

"Kita juga perlu memastikan pemimpin pelapis melaksanakan ibadah dan amanah kepemimpinan bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah, sekali gus meneruskan kesinambungan memimpin negara berbilang kaum dan agama," katanya ketika menggulung perbahasan.

Mengenai hak orang Melayu yang sudah dipersetujui secara bersama antara Umno dan pemimpin parti komponen lain, Muhyiddin menegaskan Umno akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan perkara berkaitan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu dan kedudukan Raja Melayu.

"Ketegasan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyentuh perkara itu dalam ucapan dasar meletakkan kita dalam keadaan lebih kukuh dan yakin masa depan Umno akan terus berjaya," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768