SDC wajar seimbang
KERAJAAN negeri Sabah akan memberi penekanan kepada keberkesanan sistem penyampaian bagi memastikan pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhir tahun ini, seimbang antara bandar dan luar bandar.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata langkah itu penting bagi membangun dan memajukan kawasan luar bandar secara menyeluruh terutama bagi wilayah yang masih berada di bawah paras kemiskinan.
“Sabah ialah negeri kedua terbesar di Malaysia, jadi sudah tentu kita akan melaksanakan pembangunan secara besar-besaran untuk memanfaatkan Sabah. Ia harapan kita dan memberi fokus untuk membangunkan rakyat,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan agung Umno, semalam.
Sabah mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di negara ini iaitu 16 peratus atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada purata kadar kemiskinan negara.
Ketika diminta mengulas harapannya sebagai Ketua Menteri terhadap SDC, Musa berkata, beliau berharap ia akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.
|