Islam Hadhari bantu capai kecemerlangan

DENGAN wajah bersahaja, berselang-seli pula teguran bukan saja untuk perwakilan, malah barisan kepemimpinan parti di pentas utama, wakil Umno Kedah, Mohd Kamal Saidin tampil menyedarkan semua mengenai tanggungjawab mendalami pendekatan Islam Hadhari bagi mencapai kehidupan cemerlang.

“Cakap kat depa, Islam Hadhari bukan agama baru, bukan mazhab baru, tapi pendekatan yang menghadirkan lima Rukun Islam dalam amalan harian kehidupan kita. Maksudnya, Islam Hadhari mampu memupuk keharmonian Islam dengan menghadirkan yang baik dan meninggalkan yang dilarang dalam diri kita.

“Sebab itulah, kalau perlu elok diwajibkan semua jabatan dan agensi kerajaan mendalami Islam Hadhari. Bukan harap Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) saja untuk melakukannya di semua peringkat, di dalam dan luar negara.

“Sepatutnya semua ahli bertanggungjawab untuk semua memahami pendekatan Islam Hadhari," kata ahli jawatankuasa Umno Pendang itu ketika membahas usul agama dan sosial.

Bagi Mohd Kamal, kehadiran perwakilan pada perhimpunan kali ini diiringi tanggungjawab besar untuk menjelaskan kepada semua ahli akar umbi mengenai perjuangan parti selama ini, bukan membiarkan Presiden parti menangani sebarang isu yang timbul.

Menggunakan pelbagai cerita, bagaikan seorang bapa menasihatkan anak yang disayangi, beliau tidak lokek ilmu itu turut meminta ahli meyakini perjuangan Umno tidak pernah lari daripada landasan Islam, terutama apabila ia kini diterajui Abdullah.

“Pak Lah sebagai ulul amri, kepada semua Pak Lah adalah Perdana Menteri (PM). Pada orang Umno... dia Presiden, pada rakyat dia PM tak kira Umno, Pas, Keadilan, tak kira Melayu, tak kira bangsa lain. Di bumi Malaysia ini tugas PM untuk rakyat... sebab itu Pak Lah kata dia ‘pedor' (cuba sedaya upaya) nak jaga semua," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768