Empat kriteria pilih calon pilihan raya

DIIBARATKAN sebagai jurulatih pasukan bola sepak, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diingatkan supaya hanya memilih calon yang benar-benar layak untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Wakil Umno Kedah, Mohd Kamal Saidin, berkata dalam pasukan bola sepak hanya pemain yang berstamina, mampu bermain dengan berkesan dan boleh menjaringkan gol diberi keutamaan dalam senarai pemain.

Dalam ucapan yang dipenuhi pelbagai cerita jenaka, tetapi tajam sebagai sindiran serta pengajaran untuk mengubah minda orang Melayu, beliau menggariskan empat sifat calon yang wajar diambil kira, iaitu berakhlak, berintegriti, bersifat hadhari dan bertanggungjawab, selain meletakkan keutamaan kepada generasi muda sebagai pemimpin pelapis negara.

"Kalau dalam parti Pak Lah jadi Presiden, kalau dalam kerajaan dan negara, Pak Lah Perdana Menteri, kalau dalam dunia Islam, Pak Lah Pengerusi OIC (Pertubuhan Persidangan Islam), kalau dalam padang, Pak Lah jadi jurulatih.

"Jadi, jurulatih takkan nak ambil pemain yang nak lari pun tak larat, tak dak stamina... nak main lagu (macam) mana.

"Kalau ambil pemain import tetapi tendang penalti dia terajang (tendang) bola lepas palang pun tak guna (merujuk kepada pengambilan calon dari luar kawasan)," katanya ketika membahas usul agama dan sosial.

Mohd Kamal yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Pendang, berkata perpaduan dan kerjasama erat adalah faktor penting yang perlu diberi perhatian utama setiap kali menjelang pilihan raya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768