Dua tokoh contoh terbaik

TANDA tanya terhadap ‘pencarian’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi puisinya berjudul Mencari Damai Abadi akhirnya terjawab apabila didedahkan Badan Perhubungan Umno Sabah, semalam.

Wakilnya, Datuk Sapawi Ahmad, berkata Presiden parti itu sebenarnya mencari dua tokoh terkenal Islam, iaitu Al-Ghazali dan As-Syafie untuk diteladani oleh masyarakat Melayu dan Islam negara ini.

Sambil mendeklamasikan puisi ciptaan Perdana Menteri itu, beliau berkata, sumbangan kedua-dua tokoh itu terhadap pembangunan syiar Islam dunia sangat besar dan tidak ternilai.

Membahaskan usul agama dan sosial, Sapawi yang juga Ketua Umno Sipitang berkata, Umno Sabah boleh menjadi contoh kepada semangat perpaduan dan toleransi kaum serta agama seperti disarankan dalam Islam Hadhari.

“Ahli Umno Sabah bukan saja berbilang kaum, tapi berlainan agama. Malah, seorang Ketua Bahagian, Datuk John Ambrose (Penampang) bukan beragama Islam.

“Namun, kami dapat hidup berharmoni dan bersatu padu selain Umno terus bertambah mantap serta mendapat sokongan padu rakyat,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768