Perpaduan pacu ekonomi

PERPADUAN dan toleransi kaum patut diusahakan secara berterusan kerana ekonomi hanya dapat dipacu jika negara berada dalam keadaan stabil, kata bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata, apabila ekonomi dapat dipacu dengan baik, semua orang akan mendapat faedahnya dan pergeseran antara kaum juga dapat dikurangkan.

“Pembahagian rezeki dan peluang menyertai pertumbuhan ekonomi akan dibuat adil dan terbuka,” katanya mengulas mengenai perpaduan dan toleransi kaum ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Ketika ditanya sama ada soal perpaduan kaum di negara ini sudah semakin meruncing sehingga ia diberi penekanan dalam ucapan dasar Presiden Umno pada perhimpunan kali ini, Tengku Razaleigh berkata, ia bergantung kepada isu.

Mengenai subsidi minyak yang ditanggung oleh kerajaan, Tengku Razaleigh berkata, ramai yang beranggapan bahawa oleh kerana negara mengeluarkan minyak, maka hasil penjualan minyak itu patut diagihkan untuk subsidi dan bantuan, apatah lagi apabila harga minyak mencecah harga yang tinggi hingga AS$100 satu tong.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768