Usaha perkasa Melayu di Amerika diteruskan

PERJUANGAN memperkasa dan meletakkan orang Melayu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa lain walaupun berada ribuan kilometer dari tanah air, tidak pernah terhenti, malah sentiasa diteruskan walaupun masyarakatnya di sana hanya kelompok minoriti.

Atas dasar itulah, Kelab Umno New York-Connecticut yang ahlinya dianggotai profesional yang belajar, bekerja, menetap atau bermastautin di sana sentiasa memastikan kelab itu mempunyai kesinambungan dan tidak pupus di bumi Amerika.

Pengerusinya, Anuar Ismail, (gambar) berkata bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya merangka strategi terbaik melahirkan generasi pelapis untuk mengganti pucuk pimpinan sedia ada yang pasti berganti apabila sampai masanya.

Usaha itu selaras semangat ‘Tidak Melayu Hilang di Dunia' yang didokong pucuk pimpinan Umno yang kini ditunjangi Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pucuk pimpinan kelab merangka pelbagai strategi untuk memastikan walaupun orang Melayu minoriti di Amerika, kebajikan mereka tetap terbela selain mempersiapkan generasi muda sebagai golongan pelapis pemimpin seterusnya.

“Sebahagian besar ahli kami yang berstatus pemastautin tetap (PR) di Amerika akan menjamin kelab ini terus bersinar dan tidak pupus. Sehubungan itu, menjadi harapan pucuk pimpinan sekarang untuk memupuk pemimpin pelapis bagi menerajui kelab itu pada masa akan datang.

“Alhamdulillah... buat pertama kali tahun ini, Kelab Umno New York-Connecticut mempunyai dua ahli berumur 18 tahun yang masing-masing menjadi pelatih di Sikorsky Helicopter dan pelajar Universiti Connecticut," katanya.

Anuar yang bertugas sebagai Pengurus Wilayah Exxonmobil Corporation, selain berniaga barang koleksi di eBay berkata, hampir keseluruhan masyarakat Melayu yang menjadi ahli kelab adalah bekas pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional, termasuk usahawan yang mempunyai rangkaian perniagaan sendiri.

Antaranya, sebagai pengurus di syarikat minyak, pengurus restoran, pegawai bank, jurutera, juruaudit, jururawat, akauntan dan pengaturcara program.

Selain itu, beliau berbangga dengan kejayaan anak Melayu yang berjaya menjadi usahawan hingga mampu memiliki perniagaan sendiri di Amerika seperti di Restoran Bentara, Steak-house dan Warong Selera.

“Malah, ada ahli jawatankuasa kami mempunyai dua kedai runcit dan butik selain bengkel kereta, kedai menjual daging halal dan barang runcit ahli kelab," katanya.

Anuar berkata, Kelab Umno New York-Connecticut yang ditubuhkan sejak 2004 dan berpusat di West Haven, Connecticut terletak kira-kira 80 kilometer di utara New York dan hanya tujuh kilometer dari Universiti Yale, tidak pernah menjadikan perbezaan warna kulit dan agama sebagai penghalang untuk mereka hidup harmoni bersama masyarakat setempat.

Katanya, walaupun kelab itu ditubuhkan untuk orang Melayu, mereka tidak pernah memencilkan diri untuk hidup harmoni dengan masyarakat tempatan.

Anak kelahiran Jitra, Kedah itu berkata, walaupun ada beberapa lagi kelab Umno seperti Kelab Umno Chicago, Kelab Umno New Jersey dan Kelab Umno California, hubungan antara mereka tetap akrab kerana membawa misi yang sama, iaitu memperjuangkan nasib bangsa Melayu di bumi asing.

FAKTA

Nama Kelab : Umno Club of New York-Connecticut
Pengerusi : Anuar Ismail
Naib Pengerusi : Ghazali Ahmad
Setiausaha : Hishamuddin Muhamad Nor
Bendahari : Roslan Omar
Ketua Penerangan dan Wanita: Nor Asrin Sahrin
Jumlah Ahli : Lebih 60 orang
Alamat Pejabat : 297 West Spring Street, West Haven, CT 06516, Amerika Syarikat
Telefon : (203) 934-4245
emel: umnousa@yahoo.com

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768