Johor pertahan martabat bahasa Melayu
UMNO Johor tetap dengan prinsip perjuangan untuk memartabat dan mempertahankan Bahasa Melayu kerana ia tidak akan menyekat kemajuan dan pembangunan yang dirancang pada masa depan.
Wakilnya, Dr Mohd Puad Zakarshi, berkata semua pihak perlu melihat isu memartabat Bahasa Melayu dari perspektif luas serta memastikan kemajuan yang dicapai mengikut acuan sendiri.
Beliau berkata, pendirian Umno Johor jelas bahawa bahasa Melayu adalah jati diri untuk mengangkat dan mengangkasakan tamadun bangsa.
"Penjajah Inggeris sendiri tidak dapat menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa mereka tetapi selepas kita merdeka dan usir mereka daripada bumi ini kenapa kita mengundang bahasa dan budayanya ke sini," katanya membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Johor berkata, Johor tidak pernah menolak penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, tetapi mengingatkan ahli supaya jangan abaikan jati diri.
Oleh itu, katanya, Umno Johor meminta isu penggunaan bahasa Melayu di universiti segera diselesaikan kerana bimbang usaha membina tamadun bangsa tidak kesampaian.
Selain itu, Umno Johor mencadangkan penubuhan badan pemantau untuk mengawal tindakan penjualan saham Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang boleh mengancam kepentingan Melayu.
Beliau berkata, Umno Johor membawa isu itu kerana inginkan penjelasan berhubung dakwaan saham Affin Holdings Bhd akan dibeli Bank East Asia dari Hong Kong dengan harga RM2.85 sen sesaham, lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu RM3.50 sen sesaham.
|