Sokong kaji semula dasar kewangan

DASAR kewangan yang membantutkan perkembangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dasar pekerja asing yang menyebabkan lambakan buruh asing perlu dikaji semula bagi menggerakkan ekonomi serta meningkatkan produktiviti rakyat melalui teknologi dan inovasi.

Wakil Johor, Datuk Dr Hariss Salleh, berkata dasar kewangan sedia ada tidak banyak membantu dengan pihak bank amat konservatif dan ragu-ragu seolah-olah enggan membantu memberi pinjaman kepada usahawan PKS.

Sehubungan itu, Umno Johor mencadangkan dana Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) yang kini RM2 bilion, ditambah menjadi RM10 bilion bagi memudahkan urusan pinjaman.

Dr Hariss yang juga Ketua Umno Bahagian Bakri, berkata dasar pekerja asing yang tidak jelas menyebabkan kemasukan ramai pekerja asing sehingga menjejaskan peningkatan produktiviti melalui inovasi, penggunaan teknologi dan modal insan berkualiti.

"Apa yang nyata di sekeliling kita, (industri) lebih banyak bergantung kepada pekerja asing. Lambakan buruh asing membuatkan banyak industri tidak peduli kepada inovasi dan perubahan teknologi.

"Sebab itulah selepas kita buktikan kepada dunia anak Malaysia mampu ke angkasa lepas, kita masih terkial-kial dengan sabit dan galah untuk menurunkan buah sawit di ladang. Mana teknologi kita?, katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768