Gabem minta diberi kuasa menyiasat
GAGASAN Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berharap diberikan kuasa menyiasat ke peringkat akar umbi ketirisan ekonomi Bumiputera yang dipercayai menjadi salah satu punca menjejaskan pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata Gabem yang sudah melebarkan sayap ke seluruh negara bersedia memikul tanggungjawab yang lebih berat untuk membendung ketirisan projek di kalangan usahawan Bumiputera termasuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Dengan rangkaian yang dimilikinya, badan itu perlu diberikan kuasa untuk menyiasat ke akar umbi syarikat yang diberikan projek kerajaan supaya tidak berlaku ketirisan.
"Kita mempunyai keupayaan untuk membuat audit forensik merangkumi siasatan terhadap akaun, malah menyiasat penyandang jawatan utama sesebuah syarikat yang mendapat projek bagi memastikan mereka benar-benar melaksanakannya.
"Jika mendapati mereka tidak melaksanakannya, kita berhak menarik balik projek berkenaan dan menyerahkannya kepada syarikat lain," katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas saranan Wakil Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden mengenai keperluan Gabem diberi kuasa untuk menyiasat syarikat yang mendapat projek bagi memastikan usaha membendung ketirisan lebih berkesan.
Mengulas lanjut, Rahim berkata, walaupun tanpa kuasa khusus, Gabem sudah mengatur strategi menyeluruh bagi membendung ketirisan projek yang menjadi duri dalam daging dalam usaha menyemarakkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.
Katanya, Gabem sudah merangka dua pendekatan khusus bagi membendung gejala ketirisan menerusi kaedah personaliti dan organisasi.
|