Memperkasa Islam Hadhari

KUALA LUMPUR: Islam sebagai agama yang sempurna dan berkesan untuk diterapkan dalam melayari kehidupan, perlu dihayati secara menyeluruh bagi melahirkan generasi ulul albab yang disegani sejagat.

Menyedari pentingnya penghayatan Islam dalam konteks kesihatan, fizikal, pendidikan dan ekonomi, Wakil Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Yusof Abd Hamid mencadangkan kerajaan mengkaji sejauh mana keberkesanan dan pemahaman rakyat, termasuk kakitangan kerajaan terhadap Islam Hadhari.

“Apakah tahap pemahaman yang hendak dicapai kerajaan untuk orang Islam dan bukan Islam bagi konsep Islam Hadhari.

“Umno Wilayah Persekutuan juga hendak tahu, apakah langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasa Islam Hadhari di kalangan rakyat," katanya ketika mencadangkan usul agama dan sosial di Persidangan Agung Umno 2007.

Ketua Umno Bahagian Batu itu menyampaikan hasrat akar umbi supaya fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Sekretariat pendekatan Islam Hadhari diperluaskan dan dimantapkan pada semua peringkat.

Beliau juga menyarankan supaya diteliti program Perkampungan Hadhari yang ketika ini turut diperuntukkan kepada kawasan Parlimen dan wakil di kalangan bukan Islam kerana ada yang menggunakan peruntukan RM50,000 untuk program itu bagi majlis di surau sempena Ramadan.

Sepanjang 2005, seramai 698,988 rakyat mengikuti program Islam Hadhari dan jumlah itu meningkat kepada 1.3 juta tahun lalu dengan peruntukan disediakan Jakim mencecah RM11.7 juta tahun ini, manakala untuk Perkampungan Hadhari pula berjumlah RM11.25 juta.

Umno Wilayah Persekutuan juga mencadangkan supaya Jakim diberi mandat menjalankan kajian terperinci pelan tindakan komprehensif dan dana untuk melengkapkan prasarana dan mewujudkan unit Islam Hadhari pada setiap negeri.

Sehubungan itu, katanya, Sekretariat Antarabangsa Islam Hadhari wajar ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi memperkenalkan pendekatan itu kepada dunia dengan kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Wajar juga dipertimbangkan melantik duta khas untuk mengetengahkan dan memperkenalkan dunia dengan Islam Hadhari,” katanya yang percaya pemantapan J-Qaf dan Islam Hadhari pada semua sistem pendidikan kebangsaan dapat mempercepatkan proses pembangunan generasi Ulul Albab.

Mohd Yusof juga menyarankan supaya pelaksanaan program J-Qaf yang merangkumi pendidikan jawi, al-Quran, Arab dan fardu Ain di sekolah rendah mulai 2005 diperluaskan ke semua sekolah segera.

Beliau juga mengetengahkan masalah kekurangan guru pakar untuk mengajar kurikulum J-Qaf dipercepatkan tanpa perlu menunggu hingga 2010, iaitu tempoh ia dilaksanakan sepenuhnya.

Malah, berlaku kekurangan guru mahir apabila jumlah yang diperlukan adalah 22,707, berbanding bilangan yang ditauliah untuk program sama hanya 12,330 orang. Begitu juga wujud masalah prasarana apabila hanya 1,555 makmal J-Qaf dilengkapkan di seluruh negara ketika ini, berbanding 6,058 makmal diperlukan.

Umno Wilayah Persekutuan juga menyentuh masalah sosial yang disumbang pendatang asing, terutama yang menjalin hubungan dengan rakyat tempatan tanpa batasan hingga menyebabkan anak gadis lari bersama mereka dan penjenayah.

Sehubungan itu, kaedah dan tata cara pengambilan jumlah pekerja asing perlu dikaji semula dengan mengambil kira keperluan sebenar dan membina pusat setempat untuk memantau perlakuan kumpulan itu.

USUL AGAMA DAN SOSIAL

Pencadang:
Datuk Mohd Yusoff Abdul Hamid (Ketua Umno Bahagian Batu)

Demi mengamalkan sistem ekonomi yang adil dan saksama;

Mengutamakan penguasaan ilmu yang merentasi sempadan dan angkasa;

Mementingkan pemeliharaan alam sekitar dan keutuhan budaya serta institusi keluarga;

Menyedari umat Islam mampu berdiri sama tinggi dengan umat di seluruh dunia dan pernah mendahului zaman ketika masyarakat Islam menghayati Iqra' hingga berupaya membina kekuatan modal insan;

Mengakui umat Islam yang berasas kukuh dengan keyakinan ilmu berinspirasi petunjuk dalam al-Quran, berupaya menjadi umat contoh dan teladan;

Menyedari al-Quran menyeru dan menganjurkan toleransi terhadap agama lain dan berpegang pada prinsip tiada paksaan dalam agama dan mesej dakwah hendaklah disampaikan secara berhikmah lagi bijaksana;

Mengakui bahawa keadaan sosial di Malaysia hanya akan dapat dihayati apabila semua rakyat berbilang kaum dan agama mengamalkan budaya harmoni dan budaya hormat menghormati antara satu sama lain serta menghindari perbuatan hina menghina antara satu sama lain; dan

Mengiktiraf bahawa pendekatan Islam Hadhari sebagai toleran, sederhana lagi menyeluruh dan berupaya hadapi cabaran masa bukan saja di negara ini tapi juga peringkat antarabangsa, malah diterima ulama terbilang di seluruh dunia;

  • Maka Perhimpunan Agung hari ini menyeru ahli Umno dan bangsa Melayu bangkit menjiwai Islam Hadhari dengan mengambil langkah dan tindakan perlu untuk menjadi umat contoh yang perlu diteladani dalam semua bidang dan profesion termasuk dari sudut penyelidikan perubatan, sains dan pendidikan ekonomi dan perdagangan;

  • Menyokong penuh pendirian tegas Presiden Umno dan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah negara demokrasi yang meletakkan Islam di tempat istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan serta menghormati dan menjamin kebebasan beragama lain;

  • Menyeru kerajaan menambah nilai program j-Qaf di sekolah demi melahirkan generasi baru umat Islam yang cemerlang yang menghayati secara dinamik kandungan al-Quran;

  • Menyokong penuh usaha kerajaan untuk mengatasi jenayah dan mengambil tindakan tegas terhadap punca jenayah gejala sosial dan keganasan rumah tangga serta menggesa rakyat segenap lapisan untuk turut berperanan membentuk satu komuniti yang bebas dari jenayah; dan

  • Menyedari pendekatan Malaysia menjadi contoh kepada negara lain dalam menangani isu keganasan dengan bijaksana dan suara Malaysia dihormati dan didengari khusus dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan keadilan sejagat.

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768