Model pengangkutan Jepun patut jadi contoh

KETUA Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman (gambar) mendapat idea mewujudkan Gerbang Pembangunan Ekonomi Wilayah Tengah ketika melawat Jepun dan Korea Selatan empat hari sebelum Perhimpunan Agung Umno 2007.

Beliau mengikuti lawatan itu bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique tertarik dengan sistem pengurusan moden bandar raya yang mementingkan pengangkutan awam.

"Ia sebenarnya membuka mata kami kerana sebahagian besar warga bandar raya negara maju menggunakan sistem pengangkutan awam sebab lebih jimat dan menepati masa.

"Sebagai contoh, di Seoul dan Tokyo, sembilan daripada 10 orang menggunakan pengangkutan awam terutama kereta api bawah tanah sebagai pengangkutan utama,” katanya yang membahaskan usul ucapan dasar Presiden kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Labuan berkata, selepas lawatan itu beliau memberikan idea kepada Umno Wilayah Persekutuan untuk membawa model sistem pengangkutan awam yang berkesan, kos efektif dan mesra rakyat ke negara ini.

“Sepanjang tujuh hari di sana, kami berbincang dan bertukar pandangan selain mendapatkan maklumat berkaitan untuk dibawa dalam ucapan dasar seterusnya menyampaikan mesej kepada perwakilan,” katanya.

Selain itu, beliau gemar menggunakan bahasa dan perkataan yang mudah difahami setiap kali berucap termasuk di persidangan Dewan Rakyat dan Perhimpunan Agung Umno.

Katanya, paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan kepada kepemimpinan tertinggi Umno dan perwakilan supaya mereka dapat menghayati dan memahami kandungan ucapan berkenaan.

PROFIL

Datuk Suhaili Abdul Rahman

UMUR: 45 tahun

TEMPAT LAHIR: Kampung Ganggarak, Labuan

PENDIDIKAN:
  • Ijazah Sarjana Sains (Ekonomi) Universiti of London
  • Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran Strategik), Universiti Hull

    JAWATAN
  • Pengerusi Perbadanan Labuan
  • Pengerusi Yayasan Pendidikan Labuan
  • Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Labuan

    KEGIATAN POLITIK:
  • Ahli Parlimen Labuan
  • Ketua Penerangan Umno Bahagian Wilayah Persekutuan
  • Ketua Umno Bahagian Labuan

    KEGIATAN SOSIAL:
  • Penaung Persatuan Warga Tua, Labuan
  • Penaung Persatuan Pengakap Malaysia, Labuan
  • Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri, Labuan

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768