Analisis: Usah biar Melayu jadi melukut di tepi gantang
PERHIMPUNAN Agung Umno 2007 yang masuk hari kedua semalam, terus dipanaskan dengan perbahasan terutama membabitkan isu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaksanaan koridor ekonomi.
Dengan nada tegas, tetapi beralas, pembahas rata-rata mahukan GLC tidak terlepas pandang berhubung kepentingan memperjuangkan nasib serta masa depan orang Melayu. Pada masa sama, orang Melayu itu sendiri diminta bingkas dan bijak merebut peluang yang ada.
Ini amat selari dengan saranan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya kelmarin, yang mahukan GLC menjuarai usaha membantu meningkatkan keupayaan dan kredibiliti syarikat serta individu Bumiputera di negara ini.
Tidak hairanlah apabila ramai ketua eksekutif (CEO) GLC hadir pada upacara pembukaan perhimpunan itu kelmarin, sekali gus menampakkan minat mereka walaupun sesetengahnya mungkin hadir untuk 'tunjuk muka' setelah kerajaan yang diterajui Umno meletakkan mereka di situ.
Sesetengah mereka turut menghantar wakil khas untuk mencatat apa yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan. Apa yang kita harapkan, CEO GLC ini peka, sensitif dan responsif terhadap sebarang kritikan serta cadangan yang dibangkitkan ahli Umno, tanpa perlu menunggu arahan kerajaan untuk melakukannya.
Daripada wakil negeri hingga wakil sayap ketiga-tiga pergerakan - Wanita, Pemuda dan Puteri, semuanya menyentuh isu berkaitan GLC dan koridor ekonomi ketika membahaskan usul ekonomi, selain pendidikan.
Paling menarik dan mencuit hati perwakilan ialah apabila wakil Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir, menyentuh isu berkaitan GLC dengan mendakwa ada pemimpin GLC yang rakus mengaut keuntungan, hidup penuh kemewahan dan hanya gah dengan pengiktirafan sebagai Melayu berjaya.
Wakil Pergerakan Wanita Umno yang juga Ketua Wanita Bahagian Lumut, Dr Azizah Johor pula mahu Umno membina kuasa ekonomi bagi memastikan orang Melayu tidak menjadi seperti melukut di tepi gantang di negara sendiri dan tertolak ke belakang ke zaman awal kemerdekaan.
Bagi beliau, Umno perlu membina kuasa ekonomi seiring dengan kuasa politik supaya parti terbesar komponen Barisan Nasional (BN) itu terus kekal selamanya, sekali gus mengubah sikap orang Melayu yang ghairah mengaut keuntungan segera sehingga melepaskan hak mereka.
Nada kebimbangan turut disuarakan Dr Azizah kerana Melayu semakin kehilangan tanah rizab dan jumlah premis Melayu juga semakin berkurangan.
Perwakilan menjadi riuh seketika apabila beliau menggunakan kiasan; "Orang Melayu tidak ubah seperti orang memakai kain pendek... tutup di atas terbuka di bawah, tutup di bawah terbuka di atas, di atas hodoh di bawah masyaAllah lagi hodoh" dalam menyuarakan kebimbangannya mengenai aset yang dimiliki orang Melayu yang semakin mengecil.
Menyentuh pembangunan koridor ekonomi, wakil Perlis, Datuk Hashim Suboh, berkata orang Melayu tidak seharusnya menyambut pelaksanaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) , Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan perasaan takut, prejudis dan terancam.
"Biar Pas dan Keadilan dengan cerita seram Misteri Nusantara ciptaan Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar yang cuba menakutkan kita dengan gambaran suram mengenai kesan pelaksanaan projek ini kepada bangsa Melayu.
Hashim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar, bagaimanapun mahu GLC selain mengemudi perancangan pembangunan ekonomi wilayah, mesti juga menjadi payung dalam membina Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Bak kata Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya kelmarin, kejayaan GLC menjadi lebih lengkap apabila ia berupaya mengimbangkan usaha dengan merealisasikan program pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
|