Kelab Umno Luar Negara jaga kebajikan
PENGERUSI Alumni Kelab Umno Luar Negara, Datuk Noh Omar, berkata penubuhan kelab berkenaan di luar negara bukan diwujudkan untuk tujuan berpolitik, tetapi lebih kepada menjaga kebajikan dan membantu orang Melayu di perantauan.
Beliau berkata, penubuhan kelab itu boleh dianggap sebagai tanda sokongan dan terima kasih orang Melayu di luar negara kepada kerajaan, terutama pemimpin Umno kerana membantu mereka selama ini.
“Ia lebih kepada penghargaan terima kasih dan kesyukuran kerana dengan bantuan biasiswa (daripada kerajaan), mereka berpeluang melanjutkan pengajian sehingga ke luar negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Kelab Umno Luar Negara anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara mengenai Resolusi Seminar Agenda Melayu Ketiga.
Beliau berkata, resolusi berkenaan sudah diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) kelmarin dan berharap ia dapat diberikan perhatian pucuk pimpinan tertinggi parti.
Noh berharap menerusi resolusi yang dibentangkan semalam, perwakilan kelab Umno luar negara yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno sejak Isnin lalu akan lebih bersemangat untuk membantu orang Melayu di tempat masing-masing menjalani kehidupan lebih baik.
Selain itu, beliau menyeru ahli kelab Umno luar negara supaya mendaftar keahlian masing-masing jika berminat untuk membabitkan diri dalam politik selepas kembali ke tanah air kerana sebelum ini ada tanggapan sekiranya mendaftar sebagai ahli kelab Umno luar negara secara automatik diterima sebagai ahli Umno.
|