Jaga kuasa politik untuk pembangunan bangsa

ORANG Melayu perlu terus menjaga kuasa politik yang ada pada mereka kerana ia penting untuk memastikan agenda membangunkan bangsa dan Bumiputera lain dapat dicapai sehingga ke tahap diidamkan, termasuk di bidang ekonomi.

Wakil Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Hasbullah Osman, berkata politik adalah landasan terbaik menyempurnakan agenda yang belum selesai bagi fasa 50 tahun kedua selepas merdeka, terutama ketika orang Melayu `gemar berpolitik'.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Grik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temenggor, berkata orang Melayu perlu memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan berpihak kepada kerajaan yang ditunjangi Umno supaya ia dapat terus memerintah negara.

"Kita sedar sedangkan kuasa politik di tangan Melayu pun, orang Melayu masih tercicir, apatah lagi jika kuasa politik terlepas ke tangan bangsa lain," katanya membahas usul ucapan dasar Presiden.

Hasbullah yang turut menyentuh soal perpaduan berkata, Umno tidak pernah berkompromi dalam soal perpaduan yang membabitkan masyarakat berbilang kaum dan orang Melayu sendiri tidak mahu `bertepuk sebelah tangan' berhubung soal itu.

"Saya harap mesej ini jelas dan jejak (tertanam) di telinga orang kita (Melayu) di luar dewan perhimpunan ini.

"Jika rakyat pelbagai kaum boleh bercakap mengenai berkongsi kuasa dengan lantang, apa salahnya mereka yang bersuara lantang itu diajak berunding pula mengenai kongsi kekayaan negara dan bercakap dengan nada dan acuan sama dalam soal ini," katanya.

Hasbullah berkata, program memperkasakan modal insan di kalangan orang Melayu perlu dilakukan dengan menampakkan `gula' atau ganjaran.

Beliau turut menyentuh masalah moral di kalangan bangsa muda Melayu.

"Orang muda Melayu pada masa lalu digelar `minah kilang' dan `mat spanar', tetapi kini sudah dapat gelaran baru `mat lentok', `mat rempit', `minah spare tyre' serta `minah sparring partner'," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768