Kerajaan disaran daftar pemilih secara automatik
KERAJAAN perlu mempertimbangkan cadangan supaya setiap ahli baru Umno secara automatik didaftarkan sebagai pengundi, biarpun mereka hanya layak menggunakan hak untuk mengundi apabila mencapai usia 21 tahun.
Wakil Umno Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, berkata kerajaan perlu meminda akta berkaitan, termasuk Akta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi membolehkan cadangan itu direalisasikan.
"Dengan itu, mudahlah kita untuk memastikan semua ahli Umno menjadi pengundi pada masa depan, sekali gus memastikan kemenangan parti," katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah berkata, sebahagian besar ahli Umno yang didaftarkan sekarang adalah golongan muda berusia antara 17 dan 18 tahun yang belum mencapai usia mengundi, terutama menerusi sayap Pemuda, Puteri dan Biro Putera.
"Dalam usaha kita membangunkan negara, kita perlukan kestabilan politik dan kestabilan itu ada pada Umno. Ia ada di tangan pengundi kita. Maka langkah yang hendak kita ambil ini akan mengatasi masalah keciciran orang Melayu terutama di kalangan generasi muda," katanya.
Ismail berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian terutama dengan mengambil kira amanat Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya yang membayangkan bahawa pilihan raya umum semakin hampir.
Justeru, meskipun persediaan rapi sudah diberikan, Umno sebagai tunjang kerajaan tidak seharusnya mengetepikan komponen terpenting pilihan raya iaitu pengundinya.
"Satu kajian mendapati kini ada lebih 1.5 juta mereka yang layak tapi tidak mendaftar sebagai pengundi dengan 90 peratus daripada membabitkan orang Melayu.
"Justeru, Umno mesti lihat perkara ini secara serius, kita kena analisis punca atau sebab mereka tidak mendaftar sebagai pengundi. Adakah generasi muda tidak lagi peka atau mereka fikir pembabitan mereka dalam parti tidak menyumbang apa-apa kepada kemajuan bangsa," katanya.
Ismail juga mencadangkan saluran pendaftaran sebagai pengundi perlu dikembangkan dan antara yang boleh memainkan peranan dengan berkesan ialah ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berhubung rapat dengan penduduk setempat.
|