Sazmi dakwa ada bukti penyelewengan Pas di Kelantan

UMNO saja yang boleh menyelamatkan Kelantan daripada terus diceroboh sehingga menyebabkan berlakunya penerokaan hutan yang menjejaskan alam sekitar, kata Wakil Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Beliau mendakwa sejak negeri itu diperintah Pas, kemusnahan hutan berlaku dengan berleluasa atas alasan perlombongan emas dan projek penanaman sayur.

Katanya, perlombongan emas dan projek tanaman sayur itu sengaja direka untuk kerajaan parti pembangkang itu mengaut keuntungan menerusi aktiviti pembalakan.

"Umno kena membantu menghapuskan kedurjanaan Pas. Jika tidak Kelantan akan terus digadai dan menjadi padang jarak padang terkukur berikutan kemusnahan alam sekitar di negeri berkenaan," katanya.

Sazmi menyifatkan pembalakan dan pencerobohan hutan simpan kekal di Kelantan adalah penyelewengan terancang Pas.

Katanya, kini banyak tanah di negeri berkenaan sudah digadai kepada bukan Melayu dengan taktik menukarkan nama mereka dengan nama orang Melayu.

"Saya ada bukti dan banyak lagi penyelewengan oleh Pas bakal didedahkan," katanya ketika menyampaikan ucapannya hampir 70 peratus menggunakan pantun dan seloka.

Sazmi turut memuji kepimpinan Perdana Menteri yang begitu telus sehingga ramai yang terbabit dalam penyelewengan dana awam dihadapkan ke mahkamah tanpa mengira mereka berpangkat tinggi atau rendah.

Katanya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) diharap tegas dalam siasatannya supaya mereka yang bersalah dikenakan tindakan setimpal.

Sementara itu, beliau memuji usaha kerajaan membawa Koridor Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) ke negeri berkenaan.

Sambil menyifatkan ECER sebagai rahmat kepada rakyat Kelantan, beliau berkata ECER adalah peralihan paradigma pembangunan secara menyeluruh yang projek pembangunan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Katanya, ECER juga membuktikan kerajaan prihatin kepada rakyat dan memastikan rakyat Kelantan tidak tercicir daripada arus perdana.

"ECER juga adalah bukti bahawa kerajaan selepas 50 tahun kemerdekaan tidak perlu lagi menjadi pemangkin pembangunan sebaliknya diberikan kepada swasta. Ini tanda kesungguhan kerajaan untuk berhadapan dengan 50 tahun akan datang," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768