Ketegasan PM dipuji
KETEGASAN Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperjuangkan kepentingan dan mempertahankan hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perlu dihayati dan disokong rakyat, terutama ahli Umno.
Mesej Perdana Menteri yang jelas mahu memastikan kejayaan dan hala tuju orang Melayu itu juga menggambarkan Umno tidak gentar mempertahankan kedudukan orang Melayu.
Ketua Pemuda Umno Sekijang, Ayub Rahmat, berkata ucapan Presiden Umno secara tegas menyedarkan pentingnya perpaduan nasional berasaskan permuafakatan antara kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Justeru, beliau berkata, ia perlu disedari dan disemat dalam hati setiap rakyat serta pemimpin parti dalam Barisan Nasional (BN).
"Presiden parti juga mengingatkan pentingnya pengisian mengenai modal insan bagi menghadapi cabaran globalisasi selain persediaan mengekalkan kejayaan untuk 50 tahun akan datang," katanya.
Setiausaha Umno Bahagian Parit Buntar, Abdullah Salleh pula berkata ucapan dasar itu memang ditunggu-tunggu ketika kedudukan dan kepentingan Melayu mula dipersoalkan oleh pihak tertentu.
"Selain itu, ia memberi gambaran bahawa perpaduan tetap menjadi teras BN yang sudah dipersetujui melalui perjanjian sosial sejak pakatan itu dibentuk. Kita harus akur dengan sejarah yang mengikat pakatan antara kaum atas dasar persefahaman," katanya.
Naib Ketua Umno bahagian Ipoh Barat, Datuk Abdul Ghani Ngah menyifatkan ucapan itu sebagai terlalu istimewa kerana berjaya memberi peringatan bersifat tegas tetapi dalam nada lembut dan bersopan.
"Ini cara sebenar Umno. Kita tidak mudah melatah, sebaliknya berbicara dalam keadaan aman serta tenang walaupun menghadapi cabaran yang besar. Ia bukti orang Melayu sentiasa memberi ruang yang adil kepada orang lain tetapi pada masa sama tetap teguh mempertahankan maruahnya," katanya.
Sementara itu ketua Wanita Umno Kulai, Shalita Abdul Razak menyifatkan ucapan dasar Presiden tahun ini berjaya menangkis tohmahan sesetengah pihak yang menyifatkan Abdullah sebagai tidak tegas dalam beberapa isu membabitkan orang Melayu.
Beliau berkata, ucapan tahun ini berjaya menunjukkan ketegasan Abdullah yang selama ini sering disalah anggap sebagai mudah berkompromi tetapi hakikatnya tidak mahu memperjudikan keamanan negara dengan polemik berbaur perkauman.
"Sebelum ini ramai yang melabel Pak Lah terlalu berlembut dalam isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu sehingga diperlekehkan sesetengah pihak khususnya pembangkang.
"Tahun ini ucapan Pak Lah berjaya membuatkan bukan saja saya tetapi seluruh perwakilan berasa bangga dan terharu dengan ketegasan yang ditunjukkannya supaya mana-mana pihak tidak lagi mempertikaikan hak istimewa orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Shirlin, berkata ucapan dasar Presiden memperlihatkan ketegasan Perdana Menteri di sebalik karektornya yang lembut.
"Ucapan dasar Presiden cukup jelas memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak sesuka hati membuat tuntutan dan dakwaan yang bukan saja menjejaskan permuafakatan sedia ada, malah memperjudikan keamanan yang negara kita kecapi.
"Pendekatan baru Pak Lah untuk membangunkan ekonomi negara yang tidak mahu terlalu bergantung dan membebankan kerajaan dengan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat juga adalah pendekatan yang baik dan perlu disokong," katanya.
Ketua Puteri bahagian Batu, Nor Hazreena Mohamad Hashim, berkata inti pati ucapan dasar Presiden yang menyentuh semangat Melayu yang tidak mudah diperkotak-katikkan memberi inspirasi kepada pergerakan itu supaya memperkukuhkan kekuatan parti di peringkat akar umbi.
"Generasi muda perlu mengambil iktibar untuk terus memperkasakan kekuatan bangsa supaya pihak lain tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan atas kelemahan bangsa.
"Ia memberi inspirasi kepada orang Melayu supaya tidak alpa dengan kemakmuran yang diperoleh sekarang supaya ia kekal menjadi milik bangsa," katanya.
|